SENI bermukun antara tarikan di tapak pameran Hawana 2024 di Atrium Utama, Plaza Merdeka, di sini. FOTO Nadim Bokhari
SENI bermukun antara tarikan di tapak pameran Hawana 2024 di Atrium Utama, Plaza Merdeka, di sini. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seni bermukun menjadi antara daya tarikan di tapak pameran Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di Atrium Utama, Plaza Merdeka, di sini.

Kesenian warisan masyarakat Melayu Sarawak itu yang ditampilkan di pentas utama bukan saja menarik perhatian pengunjung kompleks membeli-belah itu malah ramai wartawan dari luar Sarawak turut teruja menyaksikannya.

Seni warisan itu biasanya dimainkan sebagai hiburan pada majlis keramaian seperti memeriahkan kenduri perkahwinan selain majlis rasmi.

Bermukun adalah seni yang menggabungkan muzik, seni tari dan juga kreativiti peserta berpantun sambil menyanyi.

Acara sempena Pameran Hawana 2024 itu turut dirakam oleh RTM untuk disiarkan dalam segmen 'Jom Bermukun' di Sarawak FM pada jam 10 malam hingga 12 tengah malam pada Sabtu.

Selain bermukun, Pameran Hawana 2024 menyediakan 20 reruai pameran pelbagai agensi berhubung perkhidmatan mereka selain memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat serta menyertai aktiviti disediakan.

Pengunjung juga berpeluang melihat sendiri peralatan klasik seperti kamera, radio, alat rakaman, kamera video selain sejarah penubuhan media di Sarawak pada pameran yang dibuka dari 10 pagi hingga 5 petang itu.

Sebanyak 17 agensi mengambil bahagian dalam pameran itu dengan mempamerkan perkhidmatan masing-masing antaranya UKAS, TVS, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Sarawak dan Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak.

Turut serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Sarawak Tourism Board (STB) serta media tempatan Sarawak antaranya CATSfm, Borneo Post, Utusan Borneo, See Hua, Sarawak Tribune, Suara Sarawak, Sin Chew Daily, Utusan Sarawak dan Kupi-Kupi fm.

Tidak ketinggalan menyertai pameran Hawana 2024, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan UDA Holdings.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 5:44 PM