POGACAR berdepan cabaran Van der Poel. -FOTO AFP
POGACAR berdepan cabaran Van der Poel. -FOTO AFP
AFP

Liege, Belgium: Tadej Pogacar akan menjadi penghalang utama kepada Mathieu van der Poel yang kini berusaha menjadi pelumba pertama selepas hampir setengah abad memenangi tiga daripada lima perlumbaan besar dalam satu musim di Liege-Bastogne-Liege esok.

Laluan sejauh 259 kilometer (km) akan melalui lorong hutan Ardennes yang berliku dengan Pogacar akan dibayangi oleh juara dunia van der Poel, yang dipuji sebagai pelumba terhebat dalam generasinya sejak memenangi Tour of Flanders yang sangat sukar dan perlumbaan Paris-Roubaix.

Sekiranya Van der Poel memenangi perlumbaan klasik esok, dia akan menjadi orang pertama yang menawan tiga daripada 'lima perlumbaan besar' dalam satu musim sejak pelumba legenda Eddy Merckx melakukannya pada 1975.

"Berdepan dengan Mathieu akan menjadi pertarungan yang hebat," kata Pogacar.

"Walaupun saya mungkin mendaki lebih baik daripada dia, saya rasa dia mampu menang."

Van der Poel sedar akan perkara itu tetapi dia pasti mempunyai cara untuk mengatasinya.

"Saya cukup realistik untuk mengetahui bahawa saya akan menghadapi kesukaran bersaing dengan Remco (Evenepoel) dan Tadej jika mereka berada pada tahap terbaik. Mereka mendaki dengan lebih baik," kata pelumba Belanda itu pada perlumbaan Paris-Roubaix baru-baru ini.

Bagi Pogacar, perlumbaan itu juga penting bagi dirinya yang mengejar cita-cita untuk mendapatkan kejuaraan berganda di Giro d'Italia-Tour de France dan meraih kembali kejayaan selepas terjatuh sehingga menyebabkan dia patah pergelangan tangannya musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2024 @ 10:25 AM