VAN der Poel menjulang basikalnya selepas muncul juara di Tour Flanders. FOTO AFP
VAN der Poel menjulang basikalnya selepas muncul juara di Tour Flanders. FOTO AFP
Reuters

Oudenaarde: Juara dunia Mathieu van der Poel menumpaskan pesaingnya dengan melakukan pecutan jarak jauh yang dahsyat untuk menuntut meraih kejuaraan Tour Flanders buat kali ketiga sebentar tadi.

Pelumba Belanda itu, yang kini mempunyai lima gelaran perlumbaan Monumen, menghasilkan pecutan luar biasa dalam pendakian berbatu Koppenberg, 45 kilometer (km) menuju penamat, dan langsung tidak menoleh ke belakang tatkala beberapa pencabar lain terpaksa turun dari basikal mereka.

Kalendar berbasikal lebuh raya mempunyai lima aksi Monumen - Milan-Sanremo, Tour Flanders, Paris-Roubaix, Liege-Bastogne-Liege dan Giro di Lombardia.

Van der Poel yang mewakili Alpecin-Deceuninck, menjadi pelumba kelapan mencipta rekod meraih tiga gelaran Tour Flanders, selepas turut memenangi Milan-Sanremo dan Paris-Roubaix tahun lalu.

Dia akan menjadi pelumba tumpuan untuk gelaran berganda Flanders-Roubaix apabila beraksi di 'Queen of the Classics' Ahad depan.

Van der Poel yang berusia 29 tahun melepasi garisan lebih seminit di hadapan pelumba Itali Luca Mozzato dan wakil Jerman Nils Politt.

Juara bertahan, Tadej Pogacar tidak mengambil bahagian dalam perlumbaan ini kerana memberi tumpuan kepada dua perlumbaan utama, Giro d'Italia dan Tour de France.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 11:28 PM