SOON HUAT-SHEVON turut menamatkan penantian penantian enam tahun negara bergelar Masters Malaysia. -FOTO Aswadi Alias
SOON HUAT-SHEVON turut menamatkan penantian penantian enam tahun negara bergelar Masters Malaysia. -FOTO Aswadi Alias
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai meraih hadiah perkahwinan paling berharga selepas muncul juara Masters Malaysia dengan menewaskan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia sebentar tadi.

Pasangan suami isteri itu yang juga pilihan keempat berjaya mencatat kemenangan straight set 21-18, 21-19 dengan bantuan sokongan padu di Axiata Arena sebentar tadi.

Mereka yang menghuni ranking ke-18 dunia menamatkan penantian Malaysia untuk muncul juara Masters Malaysia dalam beregu campuran selepas kali terakhir diraih Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pada 2017 di Sibu, Sarawak.

Rekod pertemuan juga menjadi kelebihan buat Soon Huat-Shevon apabila meraih kemenangan kali keenam daripada tujuh perlawanan.

Ia juga adalah kejuaraan kali kedua buat Soon Huat-Shevon tahun ini selepas muncul juara Terbuka Switzerland Mac lalu.

Antara kejuaraan yang pernah diraih gandingan profesional itu sejak digabungkan pada 2016 ialah Cabaran Antarabangsa Malaysia (2016), Terbuka Scotland (2016), Terbuka Jerman dan Tebrbuka Singapura (2018).

Soon Huat-Shevon meraih hadiah wang tunai sebanyak AS$33,180 (RM156,095), manakala Rinov-Pitha pula membawa pulang AS$15,960 (RM75,083) selaku naib juara.

Sementara itu, dalam aksi perseorangan wanita, pemain China, Wang Zhi Yi berjaya muncul juara selepas menumpaskan PV Sindhu dari India, 16-21, 21-5, 21-16.

Dalam aksi beregu wanita pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi yang juga pilihan utama berjaya mengetepikan Lee Yu Lim-Shin Seung Chan dari Korea Selatan 17-21, 21-19, 21-18.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 6:02 PM