Kenangan Adelia Citra bersama Allahyarham suaminya, Nabil Mentor dan dua anak perempuan mereka.
Kenangan Adelia Citra bersama Allahyarham suaminya, Nabil Mentor dan dua anak perempuan mereka.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Saya terlalu bergantung hidup kepada arwah suami. Segala-galanya memang dia uruskan," kata isteri kepada Allahyarham Nabil Zamanhuri atau Nabil Mentor iaitu Adelia Citra Hapsari, 36.

Ibu kepada dua cahaya mata perempuan itu juga menyifatkan arwah suaminya adalah seorang ketua keluarga yang sempurna buat dirinya dan anak-anak.

"Saya tidak tahulah bagaimana hendak uruskan keluarga seorang diri tanpa arwah di sisi selepas 'pemergiaannya' meninggalkan saya dan anak-anak buat selamanya pada hari ini.

"Arwah adalah suami yang penyabar dan menjaga saya dengan baik selama ini. Apa saja urusan termasuk anak-anak, arwah banyak membantu, tapi sekarang saya tak tahu nak buat apa," katanya kepada Harian Metro.

Adelia berkata, arwah suaminya yang menyimpan impian untuk membawa dia dan anak-anak bercuti ke Jepun sebagai hadiah hari jadinya yang diraikan baru-baru ini juga tidak kesampaian.

Bercerita kejadian arwah Nabil sebelum menghembuskan nafas terakhir, Adelia berkata, keadaan suaminya agak lain sebaik keluar dari bilik air selepas mengambil wuduk untuk menunaikan solat Subuh.

"Apabila saya pula selesai ambil wuduk dan keluar dari bilik air, saya tengok arwah sudah mengalami kekejangan. Mulanya, ingatkan dia (arwah) sedang 'main-main' dengan anak.

"Tapi, apabila tengok keadaannya tidak seperti biasa, saya mula panik dan lakukan CPR (bantuan pernafasan kecemasan), namun tiada perubahan. Saya kemudian hubungi 999 dan ambulans sampai kira-kira 30 minit," katanya.

Difahamkan arwah Nabil yang juga pernah dikenali sebagai penyanyi dan pelakon itu meninggal dunia di kediamannya di Bukit Indah Ampang, akibat serangan jantung pada pagi ini.

Nabil merangkul gelaran naib juara program Mentor musim pertama di TV3 pada 2005, bernikah dengan Adelia pada 2014 dan dikurniakan dua anak iaitu Aluna Calista, 7, dan Stara, kini berusia tiga tahun.

Jenazah yang berada di Unit Forensik Hospital Ampang akan dibawa dan diuruskan di Masjid Ukay Perdana, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 6:30 PM