NASIR (kanan) mengharapkan atlet-atlet muda yang kali pertama bertanding untuk membuat kejutan. FOTO Bernama
NASIR (kanan) mengharapkan atlet-atlet muda yang kali pertama bertanding untuk membuat kejutan. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua kontinjen negara ke Sukan Sea Kemboja, Datuk Nasir Ali berharap sukan olahraga dan renang dapat menyumbang lebih banyak emas bagi menampung beberapa acara sukan yang dikurangkan serta tidak dipertandingkan.

Katanya, Malaysia sudah kehilangan 15 emas sebelum bermulanya pertandingan lagi kerana beberapa sukan prospek emas tidak dipertandingkan seperti bina badan dan memanah.

"Disamping itu ada juga sukan-sukan dipertandingkan tapi dihadkan 10 acara jadi lima acara sahaja. Jadi dua isu ini telah menyebabkan kita kehilangan banyak pingat.

"Jadi kita terpaksa menampung, menambah atau mencari sukan-sukan lain untuk membawa pulang emas. Itu kita harap dapat datang daripada beberapa sukan yang kuat tapi kita terlepas atas beberapa faktor.

"Keduanya, kita mengharapkan atlet-atlet muda yang kali pertama bertanding untuk membuat kejutan selain sukan-sukan macam olahraga dan renang dapat menampung kekurangan pingat.

"Ësok saya rasa akan dapat gambaran lebih baik. Paling penting kita nak dapatkan sasaran lebih tinggi serta dapat memperbaiki kedudukan berbanding nombor enam pada edisi lalu," katanya pada sidang media selepas mesyuarat bersama pengurus pasukan, hari ini.

Pada Sukan Sea Hanoi tahun lalu, kontinjen negara melepasi sasaran 36 pingat emas apabila menamatkan saingan di kedudukan keenam dengan mengutip 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib memberi bayangan penetapan pingat menjelang bengkel penetapan sasaran pingat yang berlangsung esok akan dilakukan dengan lebih berhati-hati.

"Kita lihat ramai atlet pelapis baru akan menyertai Sukan Sea kali ini buat kali pertama. Jadi kita belum tahu adakah mereka mampu mencapai prestasi terbaik. Jadi saya sarankan kita lebih berhati-hati untuk membuat sasaran yang tinggi.

"Perlu jaga jangkaan rakyat. Kita lebih selesa meletakkan jangkaan yang rendah tapi mampu lakar kejutan luar biasa daripada letak jangkaan tinggi tetapi mengecewakan dari segi pencapaian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 3:48 PM