KEMENTERIAN berpendirian tindakan menghantar atlet muda ke Sukan Sea Kemboja baru-baru ini adalah keputusan tepat untuk kontinjen Malaysia.
KEMENTERIAN berpendirian tindakan menghantar atlet muda ke Sukan Sea Kemboja baru-baru ini adalah keputusan tepat untuk kontinjen Malaysia.
KAFE AHAD

Sukan Sea Kemboja 2023 melabuhkan tirai Rabu lalu dengan kontinjen negara gagal mencapai sasaran 40 emas dan menghuni tangga ketujuh keseluruhan.

Ia jelas sekali mendapat kecaman dari pelbagai pihak termasuk pemerhati sukan bahawa kegagalan itu perlu dijadikan iktibar atas pelbagai faktor.

Ada yang berpendapat bahawa menghantar atlet muda perlu dikaji semula, begitu juga dengan sasaran yang diletakkan tidak mengikut pada kemampuan sendiri.

MENTERI BELIA DAN SUKAN, HANNAH YEOH ada jawapannya seperti diceritakan kepada wartawan, FERZALFIE FAUZI.

Adakah kita meletakkan sasaran di Sukan Sea Kemboja seolah-olah seperti tidak mengukur baju di badan sendiri?

Mengenai sasaran kita membabitkan empat sesi babit urus bersama persatuan, daripada kajian yang dilakukan mereka kita meletakkan sasaran 40 emas. Saya tidak boleh katakan sasaran ini tak realistik, tak boleh tengok kepada emas sahaja.

Kita harus tengok kepada sasaran perak dan gangsa, jadi untuk saya dalam hukum sukan mesti ada menang dan kalah, kita sudah berikan analisis kenapa emas yang disasarkan tidak dapat diraih. Ia membabitkan banyak faktor.

Setuju jika dikatakan ini adalah pencapaian terburuk kita di Sukan Sea?

Bukan prestasi terburuk berdasarkan rekod Sukan Sea kalau untuk saya. Jika mendapat kedudukan kedua atau ketiga terbaik kita tak boleh membandingkan pencapaian kita ketika menjadi tuan rumah.

Kita hendak kejar bagaimana boleh menjadi seperti Vietnam yang mendapat sasaran lebih daripada 100 emas, itu sasaran kita.

Adakah YB perlu bertanggungjawab dan meminta maaf seperti desakan yang dibuat sesetengah pihak?

Saya sudah katakan daripada hari pertama, orang yang komen seperti itu tidak mengikuti sidang media kita sebelum menghantar kontinjen. Kita sudah kata, daripada hari pertama, kita tahu akan kehilangan pingat sebab ada sukan tidak dipertandingkan.

Kalau menilai dari segi tak dapat 40 emas dan ranking negara, kalau kita dapat 40 emas pun ranking tak berubah. Saya tidak akan meminta maaf kerana membuat pelaburan kepada atlet muda. Ini adalah keputusan tepat untuk kontinjen Malaysia.

Keputusan menghantar atlet muda dan kali pertama ke Sukan Sea Kemboja harus diperhalusi semula?

Kita harus memberi fokus kepada atlet muda, mereka memberi harapan kepada kita. Media kena jelaskan perkara ini. Kita tidak boleh bandingkan kutipan pingat emas semasa Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. Ia tidak realistik orang ramai masih 'hidup' dengan 145 emas yang dikutip ketika itu.

Itu sebab kita membuat pelaburan membangunkan atlet muda kerana selepas ini mereka akan menjadi harapan untuk Sukan Sea Thailand (2024). Memang kita tidak dapat kejar kedudukan teratas kerana banyak acara tidak dipertandingkan.

Semasa sesi townhall ada atlet pelapis yang mengadu mereka datang berlatih bertahun-tahun tapi tidak diberi peluang hantar ke pertandingan. Umar (Osman, pelari 400 meter), misalnya kalau tidak dihantar kita tak tahu dia akan pecahkan rekod.

Kita harus membuat pilihan daripada sekarang, tengok seperti pemain golf wanita berusia 15 tahun (Ng Jing Xuen) meraih emas. Ramai atlet kita yang memenangi gangsa mempunyai potensi jika kita bagi sokongan dengan betul mereka akan menyinar.

Adakah persatuan sukan harus dipersalahkan dalam perkara ini kerana tidak menghantar atlet muda ke kejohanan luar negara?

Reformasi ke atas persatuan sukan perlu ada. Seperti renang dan olahraga, sudah dua kitaran Sukan Sea (tidak menghasilkan kutipan pingat emas memberangsangkan). Bagaimanapun, apabila kita ingin reset semula antaranya persatuan sukan, tidak semua akan setuju.

Sama seperti ingin menghantar 63 peratus atlet muda ke Sukan Sea Kemboja. Kalau kita menghantar atlet berpengalaman sahaja, tidak ada kesan dan ini harga yang kita harus membayarnya, tidak akan ada 63 peratus atlet penampilan sulung memenangi emas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 7:01 AM