PENOLONG jurulatih skuad terjun negara, Datuk Leong Mun Yee. FOTO FB LEONG MUN YEE
PENOLONG jurulatih skuad terjun negara, Datuk Leong Mun Yee. FOTO FB LEONG MUN YEE
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Datuk Leong Mun Yee tetap percaya skuad terjun negara yang rata-rata dibarisi penerjun pelapis mampu meneruskan dominasi Malaysia dalam acara itu di Sukan Sea Kemboja bermula 5 hingga 17 Mei depan.

Jelas penolong jurulatih skuad terjun negara itu, meskipun tuan rumah hanya mempertandingkan empat acara sahaja, beliau berharap barisan penerjun negara dapat membolot tiga emas daripada keseluruhan jumlah dipertandingkan.

"Seperti kita sedia maklum, skuad terjun kali ini akan menghantar barisan atlet pelapis yang akan bertanding dalam empat acara.

"Daripada empat acara ini, kami mensasarkan tiga emas iaitu dua menerusi acara lelaki dan satu daripada acara wanita.

"Walaupun rata-rata mereka adalah muka baharu, saya tetap yakin dengan kemampuan mereka.

"Sekarang ini masih ada ruang untuk mereka memperbaiki prestasi masing-masing sebelum bermulanya Sukan Sea nanti," katanya.

Pada edisi di Hanoi, Mei tahun lalu, skuad terjun negara membuktikan mereka selaku pasukan gergasi Asia Tenggara apabila menyapu bersih lapan emas, tiga perak dan satu gangsa.

Namun, situasi di Kemboja agak berbeza apabila Persekutuan Renang Malaysia (MS) mempertaruhkan barisan enam penerjun pelapis dan hanya menyandarkan harapan kepada dua penerjun berpengalaman iaitu Muhammad Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert Daim untuk acara 3 meter papan anjal.

Empat penerjun lain adalah Bertrand Rhodict, Enrique Maccartney, Lee Yiat Qing serta Nur Ellisha Rania untuk acara 10 meter platform dan Kimberly Bong (3 meter papan anjal).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 5:32 PM