KIMBERLY raih gangsa 10m platform individu wanita.
KIMBERLY raih gangsa 10m platform individu wanita.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Dua atlet terjun berstatus bintang, Pandelela Rinong serta Cheong Jun Hoong berharap barisan penerjun muda yang membuat penampilan pertama di Sukan SEA dapat memanfaatkan sepenuhnya pengalaman ditimba.

Pandelela serta Jun Hoong yang turut membina karier bermula pada temasya dwitahunan itu senada berpendapat barisan penerjun muda negara yang beraksi di temasya ini adalah pengganti terbaik mereka pada masa depan.

Bagi Pandelela, legasi cemerlang skuad terjun negara perlu diteruskan yang menyaksikan Malaysia membolot kesemua 13 emas dipertandingkan kali ini.

Antara mendapat pujian Pandelela ialah Kimberly Bong, penerjun muda yang meraih gangsa menerusi 10 meter platform individu wanita - acara kegemaran Pandelela.

“Dia sebagai contohnya memang seorang atlet berbakat. Rasanya saya juga perlu belajar daripada dia.

“Walaupun darjah kesukarannya rendah, dia masih mampu memberikan gangsa.

“Barisan penerjun negara seperti inilah yang akan mengekalkan momentum pasukan terjun negara pada masa depan,” katanya.

Jun Hoong yang muncul juara dunia di Budapest bulan lalu pula berkata, dia tidak terkilan apabila hanya beraksi dalam satu acara kali ini.

Penerjun berusia 27 tahun itu meraih emas menerusi acara 1 meter papan anjal individu wanita.

“Kita ada barisan penerjun muda yang lain. Jadi saya rasa ia peluang yang baik untuk mereka membuktikan kemampuan masing-masing,” katanya.

Terjun meraih keputusan cemerlang apabila membolot kesemua 13 yang dipertandingkan kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 7:52 AM