SYAFIQ Puteh (kiri) dan Kimberly Bong ketika sidang media Kontinjen Sukan SEA 2023 di Bukit Jalil hari ini. FOTO Bernama
SYAFIQ Puteh (kiri) dan Kimberly Bong ketika sidang media Kontinjen Sukan SEA 2023 di Bukit Jalil hari ini. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Dengan hanya membariskan skuad pelapis, ia dijangka bukan masalah besar buat skuad terjun negara menguasai pusat akuatik di Sukan Sea ke-32 di Phnom Penh, Kemboja, selepas semua yang tersenarai bersedia menyahut cabaran untuk membutirkan pingat emas pada temasya dwitahunan tersebut.

Pada edisi lalu di Hanoi, skuad terjun negara membuktikan mereka selaku pasukan gergasi Asia Tenggara apabila menyapu bersih lapan emas, tiga perak dan satu gangsa.

Bagaimanapun, situasi di Kemboja berlainan apabila Persekutan Renang Malaysia (MS) mempertaruhkan barisan enam penerjun pelapis pada temasya dwitahunan berkenaan dan hanya menyandarkan harapan kepada dua penerjun berpengalaman iaitu Muhammad Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert Daim.

Menurut Pengurus pasukan terjun, Vivian Ong berkata, keputusan mereka menghantar barisan atlet muda kerana menyahut cabaran Majlis Olimpik Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mempersiapkan atlet masa depan negara.

"Ini adalah pendedahan pertama skuad terjun muda merasai pertandingan di peringkat antarabangsa. Kali ini yang menyertai Sukan Sea Kemboja adalah penerjun pelapis dan hanya enam penerjun pelapis dan dua lagi adalah penerjun elit," katanya di Sidang Media Kontinjen Malaysia Ke Sukan Sea Ke-23.

Bagaimanapun, mereka meletakkan harapan cukup tinggi kepada atlet pelapis kerana kesemuanya mampu menaiki podium pada temasya dwitahun itu.

"Kalau ikut sasaran awal, kita meletakkan penerjun negara mampu membawa pulang sekurang-kurangnya tiga pingat emas, tiga perak dan dua gangsa," katanya.

Dalam pada itu, Syafiq Puteh yang meraih emas dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu lelaki di Hanoi, Vietnam tahun lalu meletakkan kepercayaan tinggi kepada penerjun pelapis negara berikutan keputusan positif sewaktu menyertai Kejohanan Terjun Kumpulan Umur Jemputan Malaysia ke-58 (MIAG) 2023 di Bukit Jalil, minggu lalu.

"Berdasarkan persembahan di MIAG, saya yakin ke semua mereka ini mampu mempamerkan aksi terbaik dan membawa pulang pingat ke tanah air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 5:44 PM