MUHAMMAD Syafiq Puteh antara sandaran skuad terjun negara. FOTO Aizuddin Saad
MUHAMMAD Syafiq Puteh antara sandaran skuad terjun negara. FOTO Aizuddin Saad
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persediaan mental pada saat akhir sangat penting buat atlet terjun negara dalam merealisasikan impian untuk membawa pulang sekurang-kurangnya tiga emas di Sukan Sea Kemboja 2023.

Perkara itu diakui oleh Setiausaha Agung Renang Malaysia (MAS) Mae Chen yang mengharapkan penerjun negara sentiasa berada dalam keadaan bersedia apabila berada di papan anjal atau platform ketika ingin melakukan terjunan.

"Saya rasa setakat ini semuanya sudah mengikut perancangan, dengan kita mengharapkan terjun mampu meraih tiga emas kerana ada di antara mereka kali pertama beraksi dan masih lagi muda serta berstatus pelapis," katanya.

Ujar Mae Chen, beliau mengharapkan penerjun negara mampu memberikan yang terbaik terutama ketika bersaing dengan negara seperti Indonesia, Filipina dan Singapura.

"Indonesia, Singapura dan Filipina masih lagi menghantar atlet senior mereka jadi kita mengharapkan yang terbaik dari penerjun negara. Ia bukan sahaja berkaitan dengan apa yang mereka sudah persiapkan di dalam latihan tetapi juga mengenai persediaan mental saat akhir.

"Satu stadium akan memerhatikan mereka, jadi mereka perlu menyerap tekanan dan berikan yang terbaik. Kita juga menghantar mereka sehari lebih awal (5 Mei) kerana mereka harus menyesuaikan diri dengan papan anjal di tempat pertandingan.

"Ketika kolam renang itu dibina, papan anjal dan platform belum pernah digunakan kerana Kemboja tidak mempunyai atlet terjun. Jadi bagi mempersiapkan atlet kita, jurulatih akan membawa segala kelengkapan bersesuaian," katanya.

Kali ini MAS menghantar barisan penerjun muda yang diperkuat dengan beberapa atlet berpengalaman iaitu pemenang emas di Hanoi dalam acara tiga meter (m) papan anjal individu lelaki, Muhammad Syafiq Puteh, perak acara sama, Gabriel Gilbert Daim dan gangsa 1m papan anjal, Bertrand Rhodict Lises.

Selain Syafiq, Gabriel dan Bertrand turut menyertai pasukan kali ini adalah Enrique Maccartney Harold (lelaki); Kimberly Bong, Lee Yiat Qing, Ong Ker Ying dan Nur Elisha Rania (wanita).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 12:19 PM