GANDINGAN Pandelela (kanan) dan Nur Dhabitah jadi sandaran pingat emas acara 10m terjun seirama di Sukan Sea Hanoi. FOTO ARKIB NSTP
GANDINGAN Pandelela (kanan) dan Nur Dhabitah jadi sandaran pingat emas acara 10m terjun seirama di Sukan Sea Hanoi. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad terjun negara mempertaruhkan gandingan Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri untuk membawa pulang emas dalam acara 10 meter (m) terjun seirama pada temasya Sukan Sea Hanoi, Mei ini.

Ia percubaan pertama membabitkan dua penerjun berpengalaman negara itu dengan Dhabitah yang berpengalaman beraksi di dua temasya Olimpik dipilih untuk menggantikan tempat Datuk Leong Mun Yee yang mengumumkan persaraannya.

Perkara itu disahkan jurulatih skuad terjun negara, Li Rui pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini, dan beliau yakin dengan kemampuan Dhabitah biarpun sudah tiga tahun tidak beraksi dalam acara platform.

Manakala tempat Dhabitah dalam acara 3m papan anjal seirama bersama Wendy Ng akan digantikan dengan penerjun baru, Ong Ker Ying yang bakal membuat penampilan pertama di temasya berkenaan.

Li Rui menaruh keyakinan penuh terhadap barisan skuad negara yang akan beraksi di temasya dwi tahunan itu untuk mencapai sasaran ditetapkan.

"Biarpun rata-rata dibarisi penerjun muda dan ada yang baru pertama kali membuat penampilan di temasya itu, saya yakin akan kemampuan mereka untuk merangkul lapan emas.

"Ini adalah cabaran baru buat penerjun muda dan berdasarkan persediaan skuad negara ketika ini berjalan dengan lancar," katanya.

Sementara itu, Li Rui menegaskan senarai skuad terjun negara akan diputuskan selepas berakhirnya Kejohanan Terjun Jemputan Peringkat Umur di Ipoh, Perak bermula pada 22 dan 23 April ini.

Pada temasya Sukan Sea di Filipina, skuad terjun negara menyapu bersih empat emas dipertandingkan iaitu dalam acara tiga meter papan anjal individu serta seirama lelaki dan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 2:35 PM