AKSI Tze Liang. FOTO Malaysia Swimming
AKSI Tze Liang. FOTO Malaysia Swimming
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Jaguh sukan terjun negara, Ooi Tze Liang mencabar penerjun muda kebangsaan untuk cuba meneruskan legasinya di temasya Sukan Sea apabila bertanding di edisi Kemboja Mei ini khususnya dalam acara tiga meter papan anjal.

Pemenang pingat emas di Sukan Komanwel Glasgow itu berkata, walaupun sukan terjun adalah lubuk emas di temasya itu, namun dia tetap mengingatkan penerjun muda negara tidak mengambil sikap sambil lewa sebaliknya perlu berusaha lebih keras bagi mengekalkan legasi Malaysia di Sukan Sea.

"Saya rasa mereka (Syafiq dan Gabriel) kena berusaha lebih keras, nak ganti tempat saya kena menang dahulu.

"Memang tugas saya untuk curahkan usaha keras saya 100 peratus bila saya tandatangani kontrak dan terima elaun sebagai atlet, jadi kepada atlet di bawah saya, mereka kena lihat apa lagi yang perlu dipertingkatkan, kalau mereka hanya sasarkan nak pergi Sukan Sea, mereka tidak akan pergi jauh, mereka perlu sasar lebih tinggi.

"Senang tak senang (ganti tempat dalam skuad kebangsaan), saya bagi mereka untuk menjawabnya, yang penting kalau saya larat lagi, saya akan berikan usaha habis-habisan," katanya.

Pada Kejohanan Terbuka Malaysia kali ke-58 yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini,Tze Liang membuktikan dia masih berada dalam kelas tersendiri apabila mengungguli acara tiga meter papan anjal.

Atlet kelahiran Pulau Pinang itu berjaya menewaskan lima lagi pencabar, termasuk Syafiq Puteh yang sedang berusaha untuk mencari rentak menghadapi Sukan Sea Kemboja yang akan berlangsung 5 hingga 17 Mei depan.

Tze Liang mencatatkan keseluruhan 452.35 mata untuk meraih pingat emas, meninggalkan jauh rakan sepasukan, Chew Yi Wei di tempat kedua dengan catatan 407.10 mata. Syafiq pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila mengumpul keseluruhan 402.70 mata.

Sementara itu, atlet terjun wanita negara, Kimberly Bong menepati ramalan untuk memenangi acara tiga meter papan anjal wanita dengan catatan 280.35 mata. Pingat perak milik rakan senegara, Ong Ker Ying yang meraih 252.60 mata, sementara pingat gangsa diraih atlet Singapura, Alycia Lim yang mengumpul 171.30 mata.

Dalam acara terjun seirama lelaki, Gabriel beraksi baik dengan Yi Wei untuk meraih pingat emas dengan catatan 341.49 mata, mengatasi penerjun Singapura, Ayden Ng dan Kenji Tan yang melakar catatan 258.45 mata. Pingat gangsa milik penerjun muda Sarawak, Awang Shazrzan Nasrin-Soh Tze Kang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 2:01 PM