HAIQAL (kiri) layak secara merit ke Sukan Sea Kemboja.
HAIQAL (kiri) layak secara merit ke Sukan Sea Kemboja.
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas acara 100 meter (m) Sukan Sea Manila 2019, Muhammad Haiqal Hanafi tidak cemburu dengan kejayaan diraih rakan senegara, Muhammad Azeem Fahmi ketika ini.

Sebaliknya, atlet berusia 24 tahun itu melihat kejayaan Azeem dari sudut positif supaya dapat dijadikan motivasi buat dirinya untuk berlatih dengan lebih baik lagi, sekali gus mengecilkan jurang antara dirinya dengan pemegang rekod kebangsaan itu.

"Saya tidak cemburu dengan pencapaian Azeem kerana dia memang berbakat, jadi memang rezeki dia.

"Saya harap dia di sana (Amerika Syarikat) nanti boleh melakukan catatan lebih baik, saya percaya dia boleh buat bawah 10 saat (s).

"Apa ditunjukkan Azeem kepada Malaysia sejak tahun lalu lagi sememangnya membakar semangat saya melakukan lebih baik lagi. Saya sedar ia bukan mudah, tetapi saya terus bekerja keras," katanya.

Sebelum ini, Haikal mengesahkan kelayakan secara merit ke Sukan Sea Kemboja, Mei ini selepas menjuarai saingan 100m Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023 dengan catatan 10.46s, Ahad lalu.

Hanya dua pelari pecut yang mempunyai catatan masa terbaik dan melepasi had kelayakan dibenarkan menyertai acara berkenaan di temasya dwitahunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 4:55 PM