PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi. FOTO ARKIB NSTP
PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari dikenali dengan jolokan Usin Bolt Malaysia, Muhammad Azeem Fahmi kini bersedia untuk menimba pengalaman beraksi buat kali pertama di temasya Sukan Sea Hanoi, Vietnam, bulan depan.

Di temasya bermula 12 hingga 23 Mei itu, Azeem tersenarai dalam kuartet 4x100 meter (m) negara bersama-sama Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Muhammad Arsyad Md Saat.

Berdasarkan pencapaian semasa, Azeem kini mendahului catatan terbaik pelari pecut negara tahun ini selepas merekodkan 10.37 saat (s) di Kejohanan Kuala Lumpur (KL) Allcomers, bulan lalu.

Dia turut cemerlang merangkul dua emas dalam acara 200m dengan catatan masa 21.52s dan 4x100m ketika beraksi di kejohanan Terbuka Singapura, baru-baru ini.

Bagaimanapun berdasarkan makluman daripada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Azeem hanya akan beraksi dalam acara berganti-ganti dengan tugas mempertahankan emas dalam acara riben biru akan digalas Arsyad dan Russel Alexander Nasir Taib, masing-masing dengan catatan masa terbaik peribadi, 10.46s.

"Saya tak kisah beraksi dalam acara apa sekalipun. Kalau diikutkan nama sudah ditentukan KOM dan saya hanya akan beraksi dalam acara 4x100m.

"Bergantung kepada KOM kalau nak daftarkan saya dalam acara 100m pun saya tak ada masalah, kalau tak daftar pun saya tak ada masalah.

"Bagi saya dapat pergi Sukan Sea dan bertanding dalam acara 4x100m pun satu penghargaan untuk dapatkan pengalaman," katanya yang mempunyai catatan peribadi terbaik dalam acara 200m iaitu 21.04s ketika di Kejohanan Olahraga Perak All-Comers 2020.

Pelari berusia 18 tahun itu kini berada di prestasi terbaiknya dengan aksi konsisten bermula dari Perak All-Comer.

Di atas kertas, tugas untuk mempertahankan emas dalam acara 100m itu tampak sukar berikutan pelari negara bakal berdepan jaguh dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri yang memiliki catatan terbaik 10.03s dan Puripol Boonson dari Thailand 10.19s.

Namun KOM tetap optimis akan kemampuan pelari negara untuk melakarkan kejutan di temasya dwi tahunan itu nanti.

Untuk rekod, Khairul Hafiz menamatkan penantian 14 tahun Malaysia bagi memenangi 100m pada 2017 apabila mengungguli aksi final dengan catatan 10.38s sebelum Haiqal mempertahankan kemenangan itu, tiga tahun kemudian di Filipina dengan catatan 10.35s.

FAKTA

Nama: Muhammad Azeem Mohd Fahmi

Umur: 18 Tahun

Sekolah: SMK Gunung Rapat - Sekolah Sukan Negeri Perak

Jurulatih: Mohd Amir Izwan Tan Abdullah Amir Abdullah (2017 - Sekarang)

PB: 100m - 10.37s

200m - 21.04s

Pencapaian:

MSSM

2018: Emas 100m & 200m

2019: Emas 100m, 200m & Lompat Jauh (Rekod Kejohanan bagi ketiga-tiga acara)

Little Athletics (Singapura)

2018: Emas 100m & 200m

Sukan Malaysia (Sukma)

2018: No 8 (Final)

Thailand Sports School Games

2019: Emas 100m & 200m

Sukan Sekolah-Sekolah Asia (Indonesia)

2019: Perak 100m & Emas 200m

Sukan Sekolah-Sekolah Asia Tenggara Sea Youth (Filipina)

2019: Emas 100m & 200m

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 1:24 PM