GAMBAR hiasan. FOTO askib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO askib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) tidak bercadang untuk menaikkan kadar tambang bas sekolah sehingga berakhir sesi persekolahan tahun ini.

Presidennya, Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, walaupun tidak menolak kemungkinan berlaku sedikit kenaikan kos operasi susulan harga alat ganti yang mungkin meningkat, namun melalui subsidi yang diberikan kerajaan kos berkenaan dapat diserap.

"Kami (GPBSM) tidak akan menaikkan tambang bas sekolah tahun ini sebaliknya kadar lama yang sedia ada kekal.

"Kami sedar sebarang kenaikan tambang bas sekolah akan memberi kesulitan kepada orang ramai terutama ibu bapa yang menggunakan perkhidmatan ini.

"Pengusaha bas sekolah telah diberikan subsidi diesel, jadi kami buat keputusan untuk kekal dengan kadar sedia ada, walaupun mungkin ada berlaku kenaikan harga alat ganti, tapi ia dapat diserap dengan adanya subsidi diesel berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, baru-baru ini menyifatkan kenaikan tambang bas sekolah tidak seharusnya berlaku memandangkan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 bagi kenderaan pengangkutan awam darat kekal pada harga RM1.88 seliter.

Loke dilaporkan berkata, ketetapan itu juga terpakai kepada pengusaha bas ekspres yang tidak boleh sesuka hati menaikkan kadar tambang memandangkan tindakan itu memerlukan kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Mohd Rofik yang juga Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan (PPBSNS) berkata, tambang bas sekolah juga diregulasikan di mana ia perlu dibuat secara persetujuan bersama dengan ibu bapa.

Beliau berkata, ibu bapa boleh berbincang dengan pengusaha bas sekolah dan mereka boleh menetapkan secara bersama kadar tambang yang sesuai berpandukan situasi 'menang-menang.'

"Saya tidak nampak ada keperluan kenaikan tambang bas sekolah sebab rata-rata ibu bapa atau penjaga menerima dengan baik kaedah regulasi yang sudah dipraktikkan selama ini.

"Walaupun berlaku kenaikan harga diesel, pengusaha menerima subsidi minyak, malah kerajaan juga sudah bersetuju menambah kuota daripada 1,800 liter sebelum ini kepada 2,700 liter," katanya yang memaklumkan ketika ini terdapat 8,000 pengusaha bas sekolah di seluruh negara yang bernaung di bawah GPBSM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 1:03 PM