Lilis Saslinda mengetuai Ops Kesan 2.0 di sebuah pasar basah, di Tampoi, di sini, hari ini. FOTO FARID NOH
Lilis Saslinda mengetuai Ops Kesan 2.0 di sebuah pasar basah, di Tampoi, di sini, hari ini. FOTO FARID NOH
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebanyak 22 notis dikeluarkan terhadap syarikat termasuk perkhidmatan trak tunda dan pengangkutan di negeri ini kerana menaikkan harga susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata, pengeluaran Notis Bertulis (NB) itu susulan pelaksanaan Op Kesan 2.0, bagi memastikan tiada elemen pencatutan terhadap harga barangan dan perkhidmatan dengan menggunakan alasan pelarasan harga runcit diesel.

Katanya, pengeluaran notis itu termasuk kepada dua syarikat membabitkan perkhidmatan trak tunda kenderaan di Ulu Tiram dan perkhidmatan pengangkutan di Muar, berikutan notis kenaikan harga syarikat berkenaan tular di media sosial, baru-baru ini.

"Susulan daripada aduan selain surat kenaikan harga yang tular baru-baru ini, KPDN Johor telah bertindak dengan mengeluarkan dua NB terhadap dua syarikat berkenaan yang disahkan tidak berdaftar dan tidak layak dalam pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS).

"Kedua-dua syarikat berkenaan diserahkan notis Selasa lalu dan dikehendaki melengkapkan NB dengan mengemukakan dokumentasi dan justifikasi ke atas kenaikan caj perkhidmatan mereka dalam tempoh enam hari selepas serahan notis berkenaan dilakukan.

"Manakala 20 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 juga dikeluarkan kepada pelbagai syarikat termasuk perkhidmatan pengangkutan, yang berdaftar di bawah pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) di negeri ini, sehingga hari ini.

"Notis ini dikeluarkan kepada syarikat berkenaan bagi memastikan tiada elemen pencatutan ke atas harga dan caj perkhidmatan dilakukan sebelum dan selepas penyasaran subsidi diesel," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Op Kesan 2.0 di sebuah pasar basah, di Tampoi, di sini, hari ini.

Khamis lalu, akhbar ini melaporkan sebuah syarikat perkhidmatan trak tunda kenderaan di Ulu Tiram, di sini, diberikan notis kerana menaikkan harga perkhidmatan susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel.

Lilis Saslinda berkata notis sudah diberikan kepada syarikat berkenaan Selasa lalu, bagi memberi maklum balas dan justifikasi kenaikan harga perkhidmatan mereka dalam tempoh enam hari.

Pada 8 Jun lalu, KPDN mengumumkan pelaksanaan Op Kesan 2.0, bagi memastikan tiada elemen pencatutan terhadap harga barang dan perkhidmatan dengan mengguna pakai alasan pelarasan harga runcit diesel.

Dalam pada itu, Lilis Saslinda berkata, untuk statistik, KPDN Johor telah melaksanakan sebanyak 50 pemeriksaan menerusi Op Kesan 2.0.

Beliau berkata, Op Kesan 2.0 akan terus dipertingkatkan di negeri ini bagi memastikan tiada syarikat yang berdaftar SKDS mahu pun yang tidak layak menerima subsidi diesel, mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka sewenang-wenangnya.

"KPDN Johor mengingatkan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti pencatutan pasca pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ini.

"Orang awam yang ada maklumat mengenai sebarang kenaikan harga yang meragukan boleh segera menghubungi KPDN di semua platform yang disenaraikan di laman sesawang kami," katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan/syarikat.

Manakala denda sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 12:58 PM