Aliran trafik selepas plaza tol Gombak kelihatan lancar menuju ke Pantai Timur berikutan orang ramai pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut umat Islam esok. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Aliran trafik selepas plaza tol Gombak kelihatan lancar menuju ke Pantai Timur berikutan orang ramai pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut umat Islam esok. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar menjelang perayaan Aidiladha susulan orang ramai sudah pulang ke kampung sejak kelmarin.

Setakat 12 tengah hari ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi laman sosial X melaporkan keadaan lalu lintas menuju arah utara, selatan dan pantai timur terkawal.

Trafik bergerak lancar di kedua-dua arah di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Bagaimanapun, aliran trafik dilaporkan perlahan sejauh 6.6 kilometer dari Plaza Tol Gombak menghala timur berikutan pertambahan kenderaan.

Selain itu, PLUS Trafik melaporkan terdapat kemalangan di Kilometer (KM) 23.5 arah utara dari Bandar Gamuda Cove ke Putrajaya, namun tiada lorong terhalang dan trafik terkawal.

Kemalangan juga dilaporkan berlaku di KM413.6 arah selatan dari Lembah Beringin ke Bukit Tagar dan di KM407.9 arah utara dari Lembah Beringin ke Tanjung Malim.

Terdahulu, LLM menjangkakan jumlah kenderaan di Plus, KLK dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 serta LPT2 meningkat sehingga 2.52 juta sempena perayaan Hari Raya Aidiladha, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 1:04 PM