Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo, mengetuai Ops Kesan 2.0 di sebuah pasar basah, di Tampoi, di sini, hari ini. FOTO FARID NOH
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo, mengetuai Ops Kesan 2.0 di sebuah pasar basah, di Tampoi, di sini, hari ini. FOTO FARID NOH
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pemeriksaan Op Kesan 2.0 di sebuah pasar basah di Tampoi di sini, menyebabkan warga asing yang menjaga lot premis perniagaan sayuran tiba-tiba 'hilang'.

Insiden itu berlaku ketika Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo membuat pemeriksaan di premis berkenaan dan bertanyakan ketiadaan tanda harga di beberapa jenis sayuran kepada pemilik premis sebelum pekerja terbabit menghilangkan diri.

Anggota penguat kuasa KPDN terpaksa memaklumkan warga asing berkenaan bahawa operasi hanya untuk memeriksa harga barangan bukan membuat tangkapan pekerja asing.

Lilis Saslinda turut menegur sebuah premis sayuran yang dijaga warga asing tiada tanda harga pada beberapa barangan dijual, sebelum mengarahkan pekerja itu meletakkan tanda harga pada tempe yang dijual premis berkenaan.

Lilis Saslinda berkata, pekerja asing yang menghilangkan diri itu mungkin menyangka anggota penguat kuasa KPDN adalah pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Beliau berkata, tujuan operasi hari ini adalah memeriksa harga barangan selain memberi advokasi supaya peniaga meletakkan tanda harga menerusi Op Kesan 2.0.

"Ops Kesan 2.0 selepas ini mungkin kita akan buat bersama agensi lain termasuk JIM bagi memantau isu pekerja asing, berikutan agensi itu mempunyai punca kuasa mengambil tindakan sedangkan KPDN hanya membabitkan pemeriksaan harga selain pematuhan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

"Diakui pemilik premis sepatutnya adalah warga tempatan, mungkin warga asing di beberapa premis sayuran itu adalah pekerja mereka.

"Bagaimanapun, pemilik seharusnya memaklumkan pekerja asing berkenaan supaya meletakkan tanda harga kerana ada beberapa barangan dijual langsung tiada tanda harga, dan ia kesalahan besar sebenarnya," katanya.

Katanya, KPDN memberi advokasi dan nasihat namun jika didapati masih gagal meletakkan tanda harga, maka bertindak kompaun akan diambil.

Lilis Saslinda bersama 20 anggota KPDN Johor meninjau pelbagai premis di pasar basah berkenaan termasuk sayuran, ayam segar selain ikan dan hasil laut.

Katanya, Op Kesan 2.0 akan terus dipertingkatkan di pelbagai lokasi bagi memastikan tiada peniaga yang menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sewenang-wenangnya.

"Kita akan memastikan tiada mana-mana syarikat sama ada tersenarai dalam Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) atau pun tidak layak menerima subsidi diesel, tidak menggunakan penyasaran subsidi diesel yang diumumkan kerajaan sebagai alasan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 1:46 PM