Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ditemui media pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Bakap. FOTO DANIAL SAAD
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ditemui media pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Bakap. FOTO DANIAL SAAD
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof


Nibong Tebal: Seramai 600 pegawai dan anggota polis ditugaskan mengawal keselamatan sepanjang perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bulan depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehubungan itu pihaknya memberi jaminan keselamatan penduduk terjaga dan tidak perlu bimbang atau berasa takut keluar mengundi pada 6 Julai ini.

Katanya, persiapan penugasan polis dibahagikan kepada tiga fasa bermula fasa penamaan calon, tempoh berkempen dan hari pengundian.

"Pengundi di Sungai Bakap tidak perlu ada kebimbangan daripada sudut keselamatan sebab pilihan raya ini merupakan pesta demokrasi.

"Justeru, tidak boleh ada elemen yang boleh ditafsirkan sebagai mencetuskan kebimbangan apa lagi dalam aspek keselamatan dan hari pengundian itu sendiri supaya pemilih dapat keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka di kesemua pusat pengundian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Sungai Bakap yang turut dihadiriTimbalan Ketua Menteri 1, Mohamad Abdul Hamid dan calon Kerajaan Perpaduan PRK Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin di sini, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dan Setiausaha Agung PKR berkata diberi taklimat daripada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berhubung persiapan berdepan PRK Sungai Bakap.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom dilaporkan berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 12:57 PM