NOR Gayah Jamhari. FOTO Husain Jahit
NOR Gayah Jamhari. FOTO Husain Jahit
Husain Jahit


Makkah: Gambar Kaabah dan suasana serta Padang Arafah yang dilihatnya sebelum menjadi buta kira-kira 20 tahun lalu, kekal dalam ingatan Nor Gayah Jamhari.

Gambaran itu yang dibayangkannya ketika tawaf wajib umrah apabila memasuki Makkah, selain ketika berada di kemuncak ibadat haji iaitu di Padang Arafah.

Walaupun sudah lama zaman mudanya berlalu iaitu sejak penglihatannya diragut akibat sakit retina, keinginan Nor Gayahyang kini berusia 65 tahun untuk mengerjakan haji tidak pernah terpadam.

Justeru, apabila dibawa memasuki Masjidilharam dan berada di kawasan Padang Arafah bersama-sama suaminya, perasaan sayu dan terharu menyelubungi warga emas itu kerana tidak menyangka dipilih sebagai duyufurrahman.

"Saya pernah lihat Kaabah menerusi gambar dan selepas itu hanya berimiginasi sahaja. Jadi apabila berada di Padang Arafah, saya gunakan peluang sebaik mungkin untuk bermunajat Allah SWT. Saya memohon semoga Allah SWT terima ibadat saya yang banyak kekurangan dan sangat daif ini.

"Sebab itu saya tahu dan yakin Allah akan letak saya di mana Dia mahu letakkan saya. Malah saya yakin apa yang terjadi itu adalah kerana dengan izin Allah SWT dengan mempunyai iktibar sendiri," katanya ketika ditemui di Petugas Media Tabung Haji di Padang Arafah, semalam.

Nor Gayah yang berasal dari Slim River Perak itu melaksanakan ibadat wukuf menerusi inisiatif Peneman.

Menerusi inisiatif ini, setiap jemaah yang kurang sihat, pelupa dan uzur akan ditemani seorang petugas haji untuk melaksanakan ibadat wukuf.

Nor Gayah berkata, selain cabaran mengerjakan haji dengan keadaan cacat penglihatan, dia turut berdepan cabaran lain.

"Kaki saya juga lemah dan saya hanya berserah sepenuhnya kepada Allah SWT," jelasnya.

Dalam pada itu Nurul Hidayah yang bertugas sebagai Peneman berkata, setiap Peneman perlu memahami fungsi kerja sebenar iaitu memberi bimbingan dan membantu jemaah sehabis baik mungkin.

"Kita tahu apabila kita menjadi peneman, kita letak tugas sebagai yang utama dengan memberi fokus kepada warga emas.

"Paling penting warga emas tidak rasa keseorangan apabila melaksanakan ibadat haji lebih-lebih lagi sekiranya mereka datang seorang diri," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 12:56 PM