KHAIRUL Hafiz (kiri), Haiqal (tengah) menjadi sandaran skuad olahraga di Sukan Sea Kemboja. FOTO Bernama
KHAIRUL Hafiz (kiri), Haiqal (tengah) menjadi sandaran skuad olahraga di Sukan Sea Kemboja. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas hilang emas 100 meter (m) lelaki Sukan Sea peluang untuk merampas kembali pingat berkenaan bakal disandarkan kepada Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi di Sukan Sea Kemboja.

Tampil menyuarakan keyakinan terhadap dua pelari negara itu ialah bekas pemenang dua emas 100 dan 200m, Nazmizan Mohamad.

Menurutnya, biarpun jaguh Thailand, Puripol Boonson sekali lagi dianggap sebagai pilihan tetapi tiada apa yang mustahil buat Khairul Hafiz dan Haiqal untuk melakar kejutan di Kemboja

"Status mereka sebagai bekas pemenang emas Sukan Sea, sedikit sebanyak pastinya memberi suntikan semangat kepada mereka untuk beraksi dalam acara riben biru kali ini. Malah, faktor itu juga sebenarnya memberi tekanan kepada pesaing dari negara lain," katanya.

Ujar Nazmizan, walaupun Puripol diletakkan sebagai pilihan tetapi dengan persiapan rapi, beliau yakin Malaysia mampu kembali merampas gelaran raja pecut.

"Dalam acara 100m, apa saja boleh berlaku, prestasi pada hari pertandingan itu yang akan menjadi penentu," kata Nazmizan yang memenangi emas 100 dan 200m Sukan Sea Hanoi 2003," katanya.

Kedua-dua pelari berkenaan kurang dua bulan untuk melakukan persiapan untuk kembali merampas pingat emas dalam acara 100m di temasya yang bermula dari 5 hingga 17 Mei depan.

Khairul Hafiz, 25, dan Haiqal, 24, menjadi taruhan Malaysia di temasya dwitahunan itu susulan ketiadaan pemegang rekod kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi yang berkelana ke Amerika Syarikat sejak Januari lalu.

Kedua-dua atlet pecut berkenaan tidaklah asing dengan temasya Sukan Sea apabila mereka turut pernah menikmati gelaran sebagai raja pecut Asia Tenggara.

Khairul Hafiz mencipta sensasi apabila memenangi emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur sebelum Haiqal mempertahankan gelaran itu menerusi kejayaannya muncul juara pada edisi 2019 di Manila, Filipina.

Bagaimanapun, usaha Malaysia untuk mempertahankan emas buat kali ketiga berturut-turut gagal di Sukan Sea Hanoi, tahun lalu apabila menyaksikan Puripol muncul juara dan dia sekali diletakkan sebagai pilihan utama pada saingan di Kemboja berdasarkan catatan masa peribadi terbaiknya 10.09 saat (s).

Selain acara 100m, Khairul Hafiz dan Haiqal turut akan memperkuatkan cabaran kuartet 4x100m negara di Kemboja bersama Muhammad Arsyad Md Saat dan Russel Alexander Nasir Taib.

Arsyad dan Russel akan beraksi dalam acara 200m.

Khairul Hafiz dan Haiqal bersama barisan atlet olahraga yang lain kemungkinan besar akan berkampung di Brisbane, Australia selama dua minggu, bulan ini bagi menjalani latihan dan menyertai kejohanan di sana sebagai persiapan menghadapi Sukan Sea Kemboja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 5:41 PM