AZEEM raih pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou. FOTO ASYRAF HAMZAH
AZEEM raih pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou. FOTO ASYRAF HAMZAH
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas menyaksikan kehebatan Muhammad Azeem Fahmi memecut meraih pingat gangsa dalam acara 100 meter (m) di Sukan Asia Hangzhou, semalam, legenda pecut negara, Watson Nyambek mencabar sensasi berusia 19 tahun itu layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris.

Jelas Watson yang terkenal dengan gelaran 'The Flying Dayak' semasa eranya, ada sebab mengapa beliau benar-benar mahu melihat hasratnya itu mampu ditunaikan oleh Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s).

Katanya, sejak dirinya layak secara merit pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 serta 2000 di Sydney, belum pernah ada mana-mana pelari pecut negara layak secara merit dalam acara riben biru itu di temasya sukan terbesar dunia.

"Saya nak tengok dia (Azeem) layak ke Sukan Olimpik saja sebab sudah lama tak ada pelari negara yang layak secara merit selepas saya. Jangan (ke Olimpik) pakai wild card la," katanya ketika dihubungi.

Pemegang rekod kebangsaan selama 18 tahun dengan catatan 10.30s sebelum dileburkan oleh Khairul Hafiz Jantan pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016 dengan catatan 10.18s itu berkata, beliau juga mahu melihat pelari 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy layak secara merit ke Olimpik Paris.

"Dia (Shereen) pun bagus kerana sering pecahkan rekod. Saya rasa dia pun boleh pergi jauh. Mereka berdua (Shereen dan Azeem) mampu bawa cabaran Malaysia ke peringkat lebih tinggi lagi termasuk Olimpik," katanya selepas menyaksikan Shereen turut meraih pingat gangsa di Hangzhou.

Mengulas lebih lanjut mengenai Azeem, Watson yang memenangi pingat perak di Kejohanan Olahraga Asia dekat Fukuoka, Jepun pada 1998 percaya akan tiba masanya pelari kelahiran Perak itu mampu mencatatkan masa di bawah 10 saat (s).

"Kalau lihat masa dia sekarang tak jauh sekitar 10.1s, 10.2s. Mungkin satu hari nanti dia boleh catat bawah 10s tetapi ia masih memerlukan masa lagi.

"Sukan Asia adalah penampilan pertamanya dan saya percaya banyak yang dia belajar. Mungkin pada Sukan Asia Seterusnya dia boleh dapat keputusan lebih bagus.

"Nasihat saya kepadanya mudah sahaja, teruskan berusaha dan jangan sesekali leka. Kalau leka mungkin ada kesilapan yang dilakukannya," kata Watson di mana pencapaian terbaiknya di temasya Sukan Asia adalah menduduki tempat keempat pada edisi 1998 di Bangkok, Thailand.

Semalam Azeem menamatkan penantian pingat dalam acara 100m dengan catatan 10.11s untuk meraih gangsa selepas kali terakhir disumbangkan oleh Datuk Rabuan Pit yang merangkul emas di Sukan Asia New Delhi 1982.

Pingat emas dimenangi pelari China, Xie Zhenye dengan catatan 9.97s manakala perak milik pemenang pingat emas Sukan Sea Hanoi dari Thailand, Boonson Puripol dengan catatan 10.02s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 8:42 PM