UMAR pernah menghubungi Azeem yang kini sedang mengikuti program latihan di Universiti Auburn. FOTO FATHIL ASRI
UMAR pernah menghubungi Azeem yang kini sedang mengikuti program latihan di Universiti Auburn. FOTO FATHIL ASRI
Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: "Jika berpeluang menyambung pelajaran di Amerika Syarikat (AS) saya akan pergi kerana jurulatih juga ada memberi galakkan jika dapat tawaran yang baik."

Demikian kata pemegang rekod kebangsaan 400 meter (m) negara, Umar Osman ketika ditanya mengenai kesediaan dirinya jika terdapat sebarang tawaran belajar ke luar negara.

Umar mula menjadi tumpuan selepas atlet itu berjaya memenangi pingat emas 400m lelaki di Sukan Sea Kemboja selain berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan masa 46.34 saat (s).

Terdahulu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa turut mencadangkan Umar untuk mengikut jejak jaguh lari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi berkelana di bumi AS bagi mengembangkan bakat yang dimilikinya ketika ini.

Atlet muda berusia 20 tahun itu juga berkongsi bahawa dirinya pernah menghubungi Azeem yang kini sedang mengikuti program latihan di Universiti Auburn untuk bertanya khabar selain bertanya mengenai pengalaman atlet itu sepanjang berkelana di AS.

"Azeem kata saya sudah boleh mula cari universiti dekat sana dan dia tunggu saya untuk datang ke sana.

"Dia juga berpesan kepada saya supaya jangan takut untuk ambil peluang jika dapat sebarang tawaran dan saya perlu yakin dengan diri sendiri," katanya.

Umar yang menyimpan impian untuk berkelana di AS itu berkata dia akan pergi ke sana setelah mendapat tawaran yang baik dan jika mendapat persetujuan keluarga dan jurulatihnya.

Ketika ditanya mengenai bantuan yang diterima atlet lain, dia bersyukur jika dia turut berpeluang mendapat bantuan.

"Cuti semester ini saya akan berlatih di Singapura jadi saya harap saya dapat kebajikan sepanjang berlatih di sana terutama untuk kos makanan dan penginapan.

"Jurulatih sering mengingatkan saya supaya jangan berharap dengan apa yang orang akan beri tetapi kita beri apa yang kita boleh beri.

"Di kejohanan universiti akan datang saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara selain memperbaharui catatan masa terbaik saya. Di kejohanan itu juga saya cuba menarik minat pihak universiti AS untuk tarik saya belajar di sana dan berikan biasiswa," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Atlet yang kini berada di kategori B itu juga berharap pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dapat pertimbangkan dirinya untuk mewakili negara di kejohanan Sukan Asia yang bakal diadakan di Hangzhou bermula September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 8:02 PM