Datuk Mustapha Sakmud
Datuk Mustapha Sakmud
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan Tinggi menyelar tindakan penganjur Perhimpunan #KamiMahuAirSabah yang membenarkan individu tanpa dokumen menyertai perhimpunan itu di hadapan Menara Kinabalu, di sini, Jumaat lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, penganjur yang terdiri daripada kumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu sudah diingatkan supaya tidak melakukan perkara tidak sepatutnya.

Katanya, beliau kecewa apabila mendapat tahu kumpulan berkenaan membawa individu tanpa dokumen berdasarkan tangkapan sembilan individu dibuat polis selepas menyertai perhimpunan berkenaan.

"Mereka tidak sepatutnya membawa individu berstatus 'stateless' atau tanpa dokumen dan saya tidak jangka ini akan berlaku. Sebab itu saya kata awal-awal lagi supaya bertindak secara rasional.

"Buatlah dengan penuh rasional, tapi apa yang dibuat, mereka boleh pula bawa yang bukan warga negara untuk meramaikan bilangan mereka.

"Ini tidak sepatutnya berlaku dan saya kesal mereka melakukannya. Saya minta jangan sekali-kali bawa bukan warga negara dalam isu yang berkaitan hal ehwal negara kita," katanya kepada pemberita pada Sambutan 25 Tahun PKR dan Pesta Kaamaatan PKR Sabah, di sini, hari ini.

Majlis anjuran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah selaku Ketua Cabang PKR Api-Api, Datuk Christina Liew itu dirasmikan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, kerajaan sentiasa mendengar suara mahasiswa namun tindakan membawa orang tanpa dokumen dalam perhimpunan mereka tidak boleh diterima.

"Saya tegaskan jangan ada mana-mana cubaan mahasiswa atau parti menggunakan bukan warga negara di sebalik isu ini (masalah air). Mana-mana pihak yang menggunakan bukan warga negara saya mahu rakyat Sabah tolak mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang," katanya.

Sementara itu, Mustapha berkata, pihaknya menyerahkan tindakan terhadap penganjur perhimpunan berkenaan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

"Terpulang kepada mereka (polis) sebab kita ada akta yang jelas dalam isu ini, biarlah siasatan dibuat. Mereka perlu bertanggungjawab sebab kita sudah mengingatkan mereka supaya bertindak rasional," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 1:42 PM