GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang duda dan janda ditahan polis kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kedua-dua suspek berusia 45 tahun itu ditahan ketika polis menjalankan rondaan cegah jenayah, jam 10 malam tadi.

Katanya, pihaknya sedang menjalankan rondaan cegah jenayah sebelum mendapati sebuah Perodua Bezza di parkir di bahu jalan di hadapan sebuah bank di Bahau, dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota peronda menghampiri kereta itu dan ketika mahu melakukan pemeriksaan, suspek mengundurkan kereta sebelum memecut.

"Anggota peronda mengejar sejauh kira-kira satu kilometer sebelum dapat menahan mereka," katanya hari ini.

Hoo berkata, suspek mendakwa melarikan diri kerana takut memandangkan dia mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

Katanya, pemeriksaan mendapati, suspek lelaki mempunyai empat rekod lampau manakala suspek wanita pula 16 rekod dadah dan tiga rekod jenayah.

"Ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah. Suspek akan direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 1:09 PM