Adibah Abdul Mutalib
Adibah Abdul Mutalib
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Bekas madu pelakon, Miera Leyana iaitu Adibah Abdul Mutalib, 51, akur harus berhadapan perbicaraan untuk tuntutan rayuan ubah perintah interim hadanah (sementara) terhadap anak keempatnya, Nur Anisa Rosland, 13, pada 12 Julai depan.

Adibah berkata, proses perbicaraan itu harus dihadapinya berikutan tidak mencapai persetujuan dengan pihak responden iaitu bekas suami, Rosland Othman, 51, yang membuat bantahan berhubung tuntutan rayuan ubah perintah interim hadanah difailkannya itu.

"Saya buat tindakan ini kerana anak (Nur Anisa) yang sudah memang tidak mahu pulang ke rumah bapanya lagi. Diharapkan dapatlah kerjasama daripada responden (Rosland) kerana kasihan juga pada anak untuk mempermudahkan persekolahannya.

"Nur Anisa biasanya 'happy' setiap kali balik ke rumah kami berjumpa dengan kakak-kakak dan adiknya. Tetapi, apabila setiap kali nak balik ke sana (rumah bapa), dia jadi 'down', mata merah dan menangis," katanya kepada Harian Metro.

Adibah berkata, apa yang cuba dilakukannya itu juga bukan bermaksud untuk memburukkan sesiapa atau tidak menghormati keputusan mahkamah sebelum ini, namun sekadar mahu memastikan kebajikan, keselamatan, kesihatan mental serta emosi Nur Anisa tidak terganggu.

"Nampaknya, saya perlu menghantar Nur Anisa ke sekolah di Kuala Lumpur buat sementara ini kerana perbincangan dengan hakim pun tak cakap apa-apa. Status kes (tuntutan rayuan) masih kekal, tiada perubahan.

"Kiranya sekarang dah jadi dua bendalah, satu kes ini (tuntutan rayuan ubah perintah interim hadanah) untuk Nur Anisa pada 12 Julai depan (perbicaraan) dan satu lagi kes induk (penjagaan hadanah kekal)," katanya.

Pada 12 Jun lalu, Adibah memfailkan tuntutan rayuan ubah perintah interim hadanah (sementara) terhadap anaknya, Nur Anisa yang berada di bawah penjagaan bekas suami, Rosland sejak mahkamah memutuskan keputusan pada 19 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, difahamkan Nur Anisa kini dengan rela hati tidak mahu lagi pulang ke rumah bapanya apabila meluahkan hasrat untuk kembali menetap semula bersama ibu dan empat adik-beradik yang lain sejak Januari lalu.

Remaja itu yang balik ke rumah Adibah pada cuti persekolahan 24 Mei lalu sehingga sekarang tinggal bersama ibunya dan atas sebab berkenaan Adibah membuat laporan polis pada 4 Jun kerana tidak ingin didakwa pihak bekas suami sebagai penghasut anak.

Pada perbincangan tertutup di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di hadapan Hakim Syarie, Zuraidah Ayob, baru-baru ini, Rosland hadir bersama ibu mentuanya, Aisah Abdullah serta diwakili dua peguam, Datuk Seri Amli Embong dan Nurul Balqis Nordin dari Amli & Associates.

Terdahulu, Adibah mendapat hak penjagaan interim untuk dua daripada tiga anaknya iaitu Nur Liyana,19, dan Nurin Tasnim,12, selepas Rosland memfailkan tuntutan hadanah pada 24 Mac tahun lalu. Manakala, Nur Anisa pula sebelum ini membuat pilihan dan keputusan sendiri untuk tinggal bersama bapanya.

Pasangan Rosland dan Adibah sah bercerai talak satu di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Siti Noraini Mohd Ali di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 3 Ogos, tahun lalu.

Mereka yang sudah hidup bersama selama 28 tahun, mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata perempuan yang berusia antara 12 hingga 27 tahun.

Rosland bagaimanapun berkahwin kali kedua dengan Miera Leyana pada Julai 2020. Hasil perkongsian hidup itu, mereka kini dikurniakan dua anak perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 1:34 PM