SebahagianPenduduk Orang Asli kaum Mandriq mendengar tazkirah kelebihan Hari Arafah di Surau Perpaduan Nurul Ihsan, Perkampungan Orang Asli Kuala Lah, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
SebahagianPenduduk Orang Asli kaum Mandriq mendengar tazkirah kelebihan Hari Arafah di Surau Perpaduan Nurul Ihsan, Perkampungan Orang Asli Kuala Lah, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Sambutan Aidiladha sentiasa dinanti masyarakat Orang Asli kaum Mandriq di Kampung Kuala Lah apabila mendapat kesempatan merasai nikmat memakan daging lembu korban.

Walaupun tidak melaksanakan ibadat korban sendiri, hampir setiap tahun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan mengadakan ibadat korban di penempatan terbabit yang mana lebih 80 peratus penduduknya beragama Islam.

Guru Agama Maik, Jali Anjang, 44, berkata, pada sambutan Aidiladha tahun ini, pihak Maik akan dilaksanakan penyembelihan di kampung itu pada hari raya keempat.

Katanya, dengan sumbangan lembu korban itu dapatlah penduduk merasai daging yang jarang dinikmati mereka.

"Alhamdulillah pada tahun ini, kami penduduk di sini menerima sumbangan lembu korban dan ibadat ini akan dilaksanakan pada hari raya keempat.

"Di kampung ini majoriti penduduk beragama Islam dan daging korban ini juga akan diagihkan kepada mereka termasuk penduduk di Kampung Kuala Wok dan Pos Pulat.

"Kami sangat terharu dengan keprihatinan pihak berwajib yang sudi melaksanakan ibadat korban di sini dan sekali gus memberi peluang menikmati daging lembu korban," katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Lah, di sini.

Bagi Julaimi Kamarul, 27, dia tidak sabar menanti tibanya Aidiladha kerana hampir setiap tahun penduduk menerima sumbangan daging lembu korban.

"Alhamdulillah, InsyaAllah tahun ini kami dapat lagi menikmati daging lembu, jika nak beli memang kami tak mampu dengan harga yang mencecah sehingga RM30 sekilogram dan terdapat keluarga yang ramai.

"Lebih menyeronokkan apabila raya pada tahun ini, abang yang berada di perantauan akan balik meraikan bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 1:17 PM