AISYAH Rofina (dua dari kiri) memburu tiket ke  Sukan Sea. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
AISYAH Rofina (dua dari kiri) memburu tiket ke Sukan Sea. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Selepas mengejutkan beberapa jaguh pecut kebangsaan untuk meraih gelaran ratu pecut acara 100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 (Grand Final), pelari pecut Sabah Aishah Rofina Aling tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

Sebaliknya atlet berusia 23 tahun itu berazam mahu melayakkan diri secara automatik dalam acara berkenaan di temasya Sukan Sea Kemboja tahun depan dengan melepasi had kelayakan yang ditetapkan iaitu 11.66 saat (s).

Katanya, dia akan cuba memanfaatkan aksi di Terbuka Malaysia Januari ini dan satu lagi kejohanan pada Mac depan untuk memburu tiket ke Sukan Sea sekali gus dapat merealisasikan impiannya layak beraksi buat kali pertama di temasya dwitahunan itu.

"Saya rasa tak mustahil untuk saya melepasi had kelayakan itu berdasarkan prestasi semasa saya ketika ini.

"Malah waktu saya lari semalam saya yakin mampu buat lebih dari itu cuma mungkin faktor cuaca, trek basah menyebabkan saya susah untuk beraksi dengan baik.

"Meskipun ia bukan tugas yang mudah untuk lepas had kelayakan itu, saya tidak akan berputus dan bekerja keras bagi mencapai cita-cita saya. Saya ada dua lagi kejohanan untuk rebut tiket ke sukan Sea dan akan digunakan sebaiknya bagi merebut tiket itu.

"Saya percaya, kalau ada rezeki dan saya kekal fokus dalam latihan, saya boleh melakukannya," katanya.

Sebelum ini Aishah mencipta sensasi apabila menewaskan jaguh pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli untuk mengungguli acara berkenaan dengan catatan masa 12.01s yang juga rekod peribadi terbaiknya.

Manakala Zaidatul yang mewakili UPM terpaksa berpuas hati dengan pingat perak 12.07s dan gangsa acara tersebut turut diraih UPM menerusi pelarinya, Nor Sarah Adi dengan catatan masa 12:27s

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 4:11 PM