Sebanyak 31 Notis Bertulis (NB) dikeluarkan KPDN Perak kepada syarikat pengangkutan, makanan, dan bahan binaan yang dikesan mempunyai elemen pencatutan terhadap harga barangan dan perkhidmatan ekoran penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan menerusi pemeriksaan dan advokasi berkenaan OPS KESAN 2.0 yang dijalankan sejak 8 Jun lalu sehingga semalam yang membabitkan sebanyak 1,291 pemeriksaan. FOTO Ihsan KPDN Perak

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mengeluarkan 31 Notis Bertulis (NB) kepada syarikat pengangkutan, makanan dan bahan binaan yang dikesan mempunyai elemen pencatutan harga barangan dan perkhidmatan susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Pengarahnya, Datuk Kamaluddin Ismail berkata, ia hasil pemeriksaan dan advokasi Ops Kesan 2.0 yang dijalankan sejak 8 Jun lalu sehingga semalam membabitkan 1,291 pemeriksaan.

Katanya, antara sektor yang menerima notis terbabit adalah pengangkutan iaitu 23 syarikat, sektor bahan binaan (dua) serta sektor makanan dan minuman (enam).

Sehingga semalam katanya tiga aduan diterima KPDN Perak dengan syarikat yang dikenal pasti terbabit sudah diminta untuk memberikan penjelasan berkaitan kewajaran tindakan mereka menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

"Dua daripada tiga syarikat itu membabitkan sektor makanan dan minuman masing-masing di Teluk Intan dan Ipoh; manakala satu syarikat bagi sektor pengangkutan di Taiping," katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya lagi, KPDN Perak dengan kekuatan 164 pegawai dan anggota penguat kuasa, serta 74 Pegawai Pemantau Harga akan terus melaksanakan pemantauan Ops Kesan 2.0.

"Ops Kesan 2.0 dilakukan supaya tidak berlaku elemen pencatutan terhadap harga barangan dan perkhidmatan ekoran penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan," katanya.

Menurutnya lagi, tindakan tegas akan diambil oleh KPDN terhadap sebarang aktiviti pencatutan pasca pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, terutamanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 1:25 PM