PELARI pecut negara, Russel Alexander Nasir Taib. FOTO ARKIB NSTP
PELARI pecut negara, Russel Alexander Nasir Taib. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet pecut negara berdepan cabaran sengit mempertahankan pingat emas acara 100 meter dimenangi pada dua edisi lalu di temasya Sukan Sea Hanoi, bulan depan.

Cabaran kali ini pastinya datang daripada juara remaja dunia, Lalu Muhammad Zohri yang memiliki catatan terbaik 10.03 saat (s).

Malah, barisan pelari Thailand dan Singapura turut berada dalam senarai pencabar utama skuad negara kali ini.

Bagaimanapun, ketua jurulatih olahraga, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata, beliau optimis akan keupayaan skuad olahraga negara untuk mempertahan emas dalam acara riben biru itu.

"Berdasarkan pada senarai catatan masa pelari, pelari negara bukanlah pilihan juara. Tapi itu tidak bermakna kita tidak boleh melakukannya seperti pernah dilakukan Khairul Hafiz Jantan dan Muhamad Haiqal Hanafi ketika Sukan Sea 2017 dan 2019.

"Dalam acara pecut ini, macam-macam boleh berlaku. Lihat saja contoh pada 2017 apabila Eric Cray (Filipina) diletakkan sebagai pilihan, tapi Khairul Hafiz yang berjaya.

"Pada 2019 pula Haiqal tidak diletakkan sasaran, malah dia disenaraikan dalam kategori B. Tapi siapa sangka dia mampu menang emas.

"Jadi jika dilihat di atas kertas bukanlah satu yang pasti kerana realitinya adalah prestasi pada hari pertandingan," katanya.

Cabaran negara dalam acara riben biru di Hanoi akan digalas dua pelari pecut, Russel Alexander Nasir Taib dan Muhammad Arsyad Md Saat selepas masing-masing layak secara merit.

Russel dipilih menggalas tugas negara selepas mencatatkan masa terbaiknya musim ini iaitu 10.46s manakala Arsyad dengan catatan 10.46s, sekali gus membawa kedua-duanya layak secara merit ke Hanoi yang membuka tirainya bermula 12 hingga 23 Mei ini.

Untuk rekod, Khairul Hafiz menamatkan penantian selama 14 tahun Malaysia bagi memenangi 100m pada 2017 apabila mengungguli aksi final dengan catatan 10.38s sebelum Haiqal mempertahankan kemenangan itu, tiga tahun kemudian di Filipina dengan catatan 10.35s.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 2:54 PM