FAKHRUL Abdul Aziz (kiri) menjuarai acara 100m lelaki Kejohanan Olahraga IPT di Bukit Jalil. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
FAKHRUL Abdul Aziz (kiri) menjuarai acara 100m lelaki Kejohanan Olahraga IPT di Bukit Jalil. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pelari pecut Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Muhammad Fakhrul Abdul Aziz merangkul gelaran raja pecut acara 100 meter (m) bagi kategori podium di Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 (Grand Final), di sini, hari ini.

Pada perlumbaan yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), atlet kelahiran Pulau Pinang itu berjaya menamatkan perlumbaan menerusi photo finish dengan catatan masa 10.795 saat (s) dibezakan hanya 0.005s dengan atlet Universiti Putra Malaysia, Jonathan Nyepa di tempat kedua.Gangsa acara berkenaan dimenangi atlet UPM, Muhammad Zulfiqar Ismail dengan catatan masa 10.81 saat.

"Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong saya. Saya sangat gembira kerana berjaya lepas sasaran yang diletakkan.

"Walaupun pada permulaan perlumbaan tadi saya bermula agak lambat, namun saya bina perlahan lahan dan dapat dapat kejar mereka di meter akhir untuk memenangi perlawanan menerusi photo finish.

"Saya rasa tak menyesal kembali ke gelanggang olahraga selepas dua tahun meninggalkannya akibat penularan Covid-19.

"Saya harap kejayaan ini mampu membakar semangat untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Sea Kemboja tahun depan," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.

Sementara itu, gelaran ratu pecut kejohanan berkenaan menjadi milik atlet dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nur Aishah Rofina Aling yang menewaskan atlet kebangsaan, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Nur Aishah Rofina mengungguli acara berkenaan dengan catatan masa 12.01 manakala Zaidatul yang mewakili UPM terpaksa berpuas hati dengan pingat perak 12.07s.

Gangsa acara tersebut turut diraih UPM menerusi pelarinya, Nor Sarah Adi dengan catatan masa 12:27.

"Saya tak sangka dapat raih emas sebab datang sini untuk buat catatan peribadi terbaik. Jadi boleh saya katakan ini penamat terindah buat saya pada tahun ini," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 6:19 PM