AISYAH atlet kelahiran Sabah antara pelari berpotensi negara. FOTO Instagram
AISYAH atlet kelahiran Sabah antara pelari berpotensi negara. FOTO Instagram
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet pecut wanita negara Nur Aishah Rofina Aling tidak mahu penyertaan di temasya Sukan Sea Kemboja sebagai 'tangkap muat' apabila memasang impian mahu menghadiahkan pingat buat Malaysia kelak.

Pelari berusia 24 tahun itu sudah pastinya berpotensi meraih kejayaan positif untuk negara apabila disenaraikan untuk menggalas cabaran dalam acara 100 meter (m) dan 4x100m wanita pada temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung dari 5 hingga 17 Mei depan.

Aishah yang berasal dari Sabah, berkata buat permulaan dia meletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke pentas final 100m dan jika berjaya dia percaya peluang untuk meraih pingat dalam acara itu menjadi lebih tinggi.

"Saya harap boleh layak ke final terlebih dahulu dan jika berjaya saya akan cuba yang terbaik untuk bersaing bagi meraih pingat.

"Saya mahu cuba untuk memperbaiki catatan peribadi terbaik saya dan jika berjaya melakukannya, saya percaya peluang itu lebih tinggi," kata Aishah yang memiliki catatan peribadi terbaik 11.90 saat (s) ketika melakukannya di Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023, bulan lalu.

Selain Aishah, Malaysia turut mempertaruhkan pelari berpengalaman, Zaidatul Husniah Zulkifli bagi menggalas tugas dalam acara 100m termasuklah 200 dan 4x100m.

Kali terakhir, Malaysia memenangi pingat dalam acara 100m wanita adalah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur menerusi Zaidatul Husniah yang meraih perak dengan catatan 11.74s.

Pada Sukan Sea Hanoi, tahun lalu, emas dimenangi atlet pecut Filipina, Kayla Richardson dengan catatan 11.60s diikuti Veronica Shanti Pereira dari Singapura yang meraih perak (11.62s) manakala pelari Thailand, Supanish Poolkerd gangsa (11.66s).

Mengulas lanjut, Aishah yang juga penuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata ketika ini dia dalam persiapan menghadapi Kejohanan Olahraga KL All Comers yang akan berlangsung pada 18 dan 19 Mac ini yang turut menjadi sebahagian aksi pemanas badan buat dirinya sebelum ke Kemboja.

"Selepas tamat KL All Comers, saya akan fokus pula untuk persiapan ke Sukan Sea. Sekarang ini saya masih berlatih di Sandakan bersama jurulatih Jumain Taepe dan dua minggu sebelum Sukan Sea, saya akan menyertai latihan pusat di Kuala Lumpur pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 3:28 PM