WAFIY (tengah) turut berjaya meraih emas dalam acara 200m lelaki. FOTO Ihsan Kementerian Pengajian Tinggi
WAFIY (tengah) turut berjaya meraih emas dalam acara 200m lelaki. FOTO Ihsan Kementerian Pengajian Tinggi
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Atlet olahraga Universiti Malaya (UM), Abdul Wafiy Roslan mengakui tidak sangka dia mampu mendominasi acara 400 meter (m) bagi kategori podium di Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 (Grand Final), di sini, hari ini.

Terdahulu Wafiy yang turut berjaya meraih emas dalam acara 200m lelaki pada Sabtu mengakui, saingan yang diberikan lawannya cukup sengit sehingga keputusan perlumbaan berkenaan terpaksa ditentukan menerusi photo finish.

Bagaimanapun dia tetap berbangga dengan pencapaian yang diraih olehnya selepas sebelum ini terpaksa berehat panjang susulan pembedahan tumit sebelum ini.

"Kalau ikutkan saya tak sasar untuk dapat emas acara ini kerana buat persediaan hanya beberapa minggu sebelum kejohanan. Malah kalau lihat perlumbaan tadi sangat sengit hingga pemenang terpaksa ditentukan guna photo finish.

"Jadi saya bersyukur kerana berjaya raih emas acara ini, dan semalam 200m. Sebab sebelum ini, saya berehat panjang dan tak turun latihan selama setahun selepas pembedahan tumit.

"Selepas itu saya kembali untuk buat latihan untuk persediaan Sukma dan selepas kejohanan berkenaan saya mengalami masalah hamstring pula.

"Jadi saya harap kejayaan ini akan meningkatkan semangat saya untuk buru slot secara automatik ke Sukan Sea Kemboja tahun depan," katanya.

Pada perlumbaan tersebut, Wafiy menamatkan saingan dengan catatan masa 48.42 saat (s) sekali gus memperbaharui rekod kejohanan.

Perak dan gangsa dimenangi atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), Luqmanul Hakim Khairul Akmal dan Muhammad Firdaus Mohd Zemi masing-masing dengan catatan masa 48.45s serta 48.56s.

Bagi kategori 400m wanita,atlet Universiti Malaysia Sabah, Chelsea Cassiofea berjaya menebus kekecewaan tewas dalam acara 200m untuk memenangi perlumbaan tersebut.

Lebih manis lagi, catatan masa 55.75s yang dilakukannya itu bukan sahaja berjaya memperbaharui rekod kejohanan dalam acara berkenaan malah Chelsea turut memperbaiki rekod peribadinya yang dilalukan tiga tahun lalu.

"Antara faktor kejayaan menang emas 400m ini kerana saya mahu tebus balik tewas acara 200m kepada Zaidatul semalam (Sabtu).

"Jadi malam tadi saya sudah berjanji untuk all out pada perlumbaan ini dan tak sangka larian ini mampu untuk perbaiki PB (catatan peribadi terbaik) saya yang saya buat tiga tahun lepas. Jadi saya sangat gembira dengan persembahan saya hari ini," ujarnya.

Perak acara 400m wanita dimenangi atlet UPM, Mandy Goh Li dengan catatan masa 56.29s manakala gangsa diraih atlet UM, Zaimah Atifah Zainuddin (60.59s).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 4:19 PM