NUR Aishah Rofina Aling. FOTO Instagram AishahAling
NUR Aishah Rofina Aling. FOTO Instagram AishahAling
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Perasaan gembira dan gementar menyebelungi pelari pecut Sabah, Nur Aishah Rofina Aling apabila namanya tersenarai untuk mewakili negara di temasya Sukan Sea Kemboja, Mei ini.

Menurut Aishah, impiannya untuk membuat penampilan di temasya dwi tahunan itu akhirnya tercapai namun dalam masa sama sedikit gementar apabila dia akan menjadi tumpuan rakyat Malaysia selepas disenarai untuk beraksi dalam acara pecut 100 meter (m) wanita.

"Saya rasa gembira kerana akhirnya berjaya juga membuat penampilan di Sukan Sea. Pada mulanya ingatkan saya akan beraksi dalam kuartet 4x100m tetapi saya juga diberitahu akan beraksi dalam acara pecut 100m.

"Sudah tentu ia bukan satu tugas yang mudah untuk menggalas tanggungjawab beraksi dalam acara individu sebab kita tahu ramai orang akan beri tumpuan kepada saya. Jadi bagi saya bebanan itu agak berat.

"Apapun saya akan berlatih bersungguh-sungguh dan berharap mampu memberikan aksi yang terbaik pada penampilan pertama saya di Sukan Sea," katanya.

Selain Nur Aishah Rofina, turut dipanggil bagi menyertai acara pecut 100m ialah Zaidatul Husniah Zulkifli manakala kuartet 4x100 m akan dibarisi olimpian negara, Azreen Nabila Alias; pelari Sabah Nur Aishah Rofina Aling; atlet lompat bergalah, Nor Sarah Adi dan pelari Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal.

Dalam pada itu, atlet berusia 23 tahun itu turut memberitahu beliau mempunyai sasaran yang tersendiri pada penampilan sulungnya di temasya itu iaitu mahu memperbaiki catatan terbaiknya 11.90s yang dilakarnya pada Februari lalu.

Malah katanya, dia turut berharap mahu menyumbang pingat buat skuad negara dalam acara 4x100m yang dilihatnya berpotensi untuk pergi lebih jauh berdasarkan catatan masa atlet yang dipanggil untuk memperkuatkan kuartet berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 2:45 PM