ZAIDATUL bersyukur dipilih ke Sukan Sea. -FOTO NSTP
ZAIDATUL bersyukur dipilih ke Sukan Sea. -FOTO NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli mengakui terkejut apabila namanya sekali lagi dipilih bagi mewakili negara dalam acara pecut di temasya Sukan Kemboja Mei ini.

Atlet berusia 29 tahun itu berkata, dia tekad untuk memberikan aksi yang terbaik di temasya dwi tahunan itu bagi membalas kepercayaan yang diberikan kepada dirinya oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Malah Zaidatul atau lebih mesra dipanggil Adik turut berharap dia mampu membantu atlet pecut wanita muda negara terutamanya yang melakukan penampilan pertama di temasya berkenaan.

"Bila tengok senarai nama yang dikeluarkan semalam, saya bersyukur kerana dipilih sekali lagi untuk mewakili negara di Sukan Sea. Sebenarnya saya tak sangka boleh terpilih kerana waktu pusingan kelayakan saya cuma berjaya melakukan 11.76 saat (s).

"Harapan saya untuk buat yang terbaik. Saya mahu balas semula kepercayaan yang mereka beri kepada saya untuk beraksi sekali lagi di Sukan Sea.

"Malah kalau kita lihat dalam senarai itu (atlet pecut wanita) rata-rata yang dipanggil itu adalah junior yang beraksi dalam kategori B dan ada di antara mereka baru kali pertama beraksi di Sukan Sea. Jadi saya mungkin boleh bantu mereka sikit seperti kurangkan tekanan ketika beraksi di temasya seperti ini," katanya yang meraih perak ketika Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Selain Zaidatul, turut dipanggil bagi menyertai acara pecut 100 meter (m) dan kuartet 4x100 m adalah olimpian negara, Azreen Nabila Alias, pelari Sabah, Nur Aishah Rofina Aling, atlet lompat bergalah, Nor Sarah Adi dan pelari Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal.

Dalam pada itu, Adik ketika diminta mengulas berkenaan atlet yang disenaraikan bagi acara 4x100, dia percaya kuartet itu mampu untuk melakukan kejutan biarpun kesemua mereka itu adalah atlet muda.

Jelasnya, ia berdasarkan catatan masa bawah 12 saat yang dilakar mereka dalam beberapa kejohanan yang terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 3:56 PM