FAHRIN (lima dari kanan) dan Sarimah (lima dari kiri) akan menjadi hos utama malam kemuncak AIS HM, 8 Januari depan. FOTO AIZUDDIN SAAD
FAHRIN (lima dari kanan) dan Sarimah (lima dari kiri) akan menjadi hos utama malam kemuncak AIS HM, 8 Januari depan. FOTO AIZUDDIN SAAD
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Malam kemuncak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro (HM) pada 8 Januari tahun depan bakal menjanjikan penganjuran penuh bermakna dan diingati khususnya kepada warga sukan.

AIS HM akan bersiaran secara langsung di saluran televisyen, TV9, termasuk saluran YouTube TV9 dan Harian Metro serta laman web AIS di www.hmetro.com.my/ais, pada 8.30 malam.

Manakala acara karpet merah akan disiarkan secara langsung pada 7.50 malam dengan lokasi malam kemuncak itu akan diumumkan kelak.

Pada majlis pengumuman pra-kemuncak AIS HM, semalam, pengacara dan pelakon, Fahrin Ahmad serta pengacara, pelakon dan penyanyi berketurunan Melayu-Ireland, Che Puan Sarimah Ibrahim diumumkan sebagai hos utama pada malam kemuncak itu.

Manakala bagi segmen karpet merah yang bakal disiarkan di saluran TV9, gandingan pengacara program bual pagi popular, Malaysia Hari Ini di TV3, Hanif Miswan dan pembaca berita popular TV3, Marsila Hassan bakal menghangatkan lagi liputan eksklusif dari lokasi acara berlangsung.

Barisan artis yang akan membuat persembahan membabitkan artis layak bergelar legenda dan berbakat besar selain bakat baharu yang sedang meningkat.

Pentas AIS HM bakal dihangatkan dengan persembahan Datuk M Nasir, Aina Abdul, kumpulan penyanyi wanita Dolla, penyanyi dan juga atlet bola jaring kebangsaan, Fariha Razak; Hariz Fayahet, Bunga Isme serta barisan pelawak iaitu Ropie, Salman dan Atu Zero serta Noorkhiriah.

Barisan penyampai anugerah terdiri daripada gandingan atlet bersama artis dan selebriti yang memiliki reputasi tersendiri dalam setiap bidang diceburi.

Malam kemuncak AIS bakal menobatkan Ikon Sukan Terbaik yang dipilih dalam kalangan calon Top 5 yang memperoleh undian tertinggi.

Ia membabitkan lapan kategori iaitu Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Wanita Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Paralimpik, Ikon Sukan Jurulatih, Ikon Sukan Persatuan/Kelab, Ikon Sukan Kepimpinan, Ikon Sukan Harapan dan Ikon Sukan Pempengaruh.

AIS HM turut memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada bekas atlet sebagai menghargai jasa dan sumbangannya dalam pembangunan industri sukan tempatan melalui kategori khas, Anugerah Ikon Sukan Lagenda.

Penerima anugerah itu bakal diumumkan pada malam kemuncak nanti dan mereka akan menerima sebuah trofi, wang tunai RM5,000 dan langganan e-paper Harian Metro selama setahun.

Pemenang bagi setiap lapan kategori yang dipertandingkan akan menerima sebuah trofi, wang tunai RM5,000 dan langganan e-paper Harian Metro selama setahun.

Manakala pemenang Anugerah Ikon Sukan Terbaik akan membawa pulang sebuah trofi, langganan e-paper Harian Metro selama setahun dan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 (hatchback 5 pintu) bernilai RM136,000.

HM turut berbesar hati memberi hadiah lumayan kepada pengundi paling kreatif yang mengundi melalui akhbar Harian Metro.

Individu bertuah itu akan menerima langganan e-paper Harian Metro selama setahun dan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A2 (coupe 3 pintu) bernilai RM112,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 5:55 PM