ANTARA rekaan kreatif yang dihantar oleh pembaca Harian Metro. FOTO Ferzalfie Fauzi
ANTARA rekaan kreatif yang dihantar oleh pembaca Harian Metro. FOTO Ferzalfie Fauzi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Debaran pengundi paling kreatif Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro semakin dirasai dan menjadi tanda tanya siapa yang bertuah bakal membawa pulang sebuah kereta elektrik jenama Appollen A2 (coupe 3 pintu) bernilai RM112,000.

Pemenang bagi kategori berkenaan akan diumumkan pada malam anugerah yang berlangsung Ahad ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Harian Metro tidak putus-putus menerima undian kreatif untuk AIS sejak ia dibuka pada 1 Disember dan sekarang ini ia dalam proses penilaian sebelum diumumkan pada malam bersejarah nanti.

Ternyata pembaca Harian Metro sangat kreatif dan sanggup menghabiskan wang ribuan ringgit untuk menjadi pemenang yang bukan sahaja dapat membawa pulang sebuah kereta tetapi turut akan menerima langganan e-paper Harian Metro selama setahun.

Berdasarkan undian kreatif yang diterima sebelum ia ditutup pada 25 Disember lalu, pembaca Harian Metro memerah otak untuk mendapatkan idea bagi menyerahkan borang undian atlet kesayangan masing-masing dalam pelbagai bentuk.

Salah seorang pembaca Syed Najib Syed Nordin, 39, mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan 'model' sebesar meja alat solek dan turut memasukkan elemen gambar kesemua 'top five' dalam setiap kategori yang dipertandingkan.

"Kos untuk menyiapkan 'model' ini bernilai RM1,500 dan ia adalah idea saya sendiri dengan memasukkan finalis selepas undian pertama selesai," katanya.

Ada juga di antara pembaca yang menghantar borang undian dengan membina sebuah replika berbentuk stadium dan gawang gol.

Pemenang bagi setiap lapan kategori AIS yang dipertandingkan akan menerima sebuah trofi, wang tunai RM5,000 dan langganan e-paper Harian Metro selama setahun.

Manakala pemenang Anugerah Ikon Sukan Terbaik akan membawa pulang sebuah trofi, langganan e-paper Harian Metro selama setahun dan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 (hatchback 5 pintu) bernilai RM136,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 8:29 PM