ABDUL Manan (tengah) dan Noor Azam dalam program MHI.
ABDUL Manan (tengah) dan Noor Azam dalam program MHI.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bukan hendak bersaing dengan anugerah sedia ada tapi Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro hadir sebagai tambah nilai terutama buat industri sukan negara.

Perkara itu dijelaskan Pengarang Berita Kanan (Sukan & Hiburan) Abdul Manan A Samad, bahawa AIS mempunyai kelainan tersendiri.

"Antara kelainan yang kita akan tampilkan pada malam kemuncak anugerah 8 Januari depan ialah mengadakan sesi karpet merah khas buat atlet, di mana mereka mendapat layanan seperti VIP," kata beliau dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) pagi tadi.

Ujar Abdul Manan yang juga Pengarah Jawatankuasa AIS, konsep malam kemuncak itu juga lain daripada yang lain dan kali pertama diadakan di Malaysia apabila menggabungkan antara sukan dan hiburan.

"AIS juga sedikit luar biasa kerana kami menawarkan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 (hatchback 5 pintu) bernilai RM136,000, buat pemenang Anugerah Ikon Sukan Terbaik.

"Kami juga berbesar hati memberikan hadiah lumayan kepada pengundi paling kreatif yang mengundi melalui akhbar Harian Metro di mana pemenang akan menerima langganan e-paper Harian Metro selama setahun dan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A2 (coupe 3 pintu) bernilai RM112,000," katanya.

Sementara itu Pengarang Berita Harian Metro, Noor Azam Abd Aziz berkata, selain menganjurkan AIS Harian Metro juga turut menghargai bekas atlet yang berdepan kesulitan, uzur dan perlukan bantuan.

"Projek Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) mengunjungi lima bekas atlet bermula di Johor dan Negeri Sembilan, manakala selebihnya di Lembah Klang," katanya yang juga penyelaras AIS.

Pelaksanaan AIS buat pertama kalinya ini akan mempertandingkan lapan (8) kategori utama iaitu Ikon Sukan Lelaki Breakthru, Ikon Sukan Wanita Breakthru, Ikon Sukan Paralimpik, Ikon Sukan Jurulatih, Ikon Sukan Persatuan/Kelab, Ikon Sukan Kepimpinan, Ikon Sukan Harapan, dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Ikon sukan yang meraih jumlah undian peminat dan markah juri profesional yang paling tinggi akan dinobatkan dengan anugerah Ikon Sukan Terbaik, dan akan diumumkan pada malam kemuncak AIS yang dijadualkan berlangsung pada 8 Januari ini.

Saluran televisyen TV9 adalah penyiar rasmi bagi AIS dan ia akan disiarkan secara langsung pada malam kemuncak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 4:46 PM