SARIMAH (kiri) akan bergandingan dengan Fahrin sebagai hos utama malam kemuncak AIS HM pada 8 Januari depan. FOTO ASYRAF HAMZAH
SARIMAH (kiri) akan bergandingan dengan Fahrin sebagai hos utama malam kemuncak AIS HM pada 8 Januari depan. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Memang patut sudah lama diadakan anugerah seperti ini, jelas pengacara, pelakon dan penyanyi berketurunan Melayu-Ireland, Che Puan Sarimah Ibrahim yang akan menjadi hos utama Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro (HM), 8 Januari depan.

Menurutnya, dia begitu teruja selepas buat julung kalinya bakal menjadi hos untuk anugerah yang bakal menghargai industri sukan di Malaysia.

"Saya rasa teruja, memang patut sudah lama anugerah berkaitan sukan ini diadakan. Masyarakat kita sentiasa mengangkat penghibur, ahli politik, tapi yang selalu membawa nama negara di luar negara ialah ahli sukan," katanya yang bakal bergandingan bersama pengacara dan pelakon, Fahrin Ahmad pada malam anugerah berkenaan.

Ujar Sarimah, atlet negara sentiasa membawa nama Malaysia dan AIS adalah satu bentuk anugerah yang perlu diadakan di dalam negara serta pasti akan mendapat sokongan peminat.

"Saya dan Fahrin tidak pernah digandingkan dan ini kali pertama, satu peluang terbaik untuk melihat anugerah dari perspektif lebih serius.

"Lebih kurang sama seperti Anugerah Dunia Sukan Laureus," katanya yang lebih meminati sukan seni bela diri.

AIS akan bersiaran secara langsung di saluran televisyen, TV9, termasuk saluran YouTube TV9 dan Harian Metro serta laman web AIS di www.hmetro.com.my/ais, pada 8.30 malam.

Manakala acara karpet merah akan disiarkan secara langsung pada 7.50 malam dengan lokasi malam kemuncak itu akan diumumkan kelak.

Bagi segmen karpet merah yang bakal disiarkan di saluran TV9, gandingan pengacara program bual pagi popular, Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3, Hanif Miswan dan pembaca berita popular TV3, Marsila Hassan bakal menghangatkan lagi liputan eksklusif dari lokasi acara berlangsung.

Barisan artis yang akan membuat persembahan membabitkan artis layak bergelar legenda dan berbakat besar selain bakat baharu yang sedang meningkat.

Pentas AIS HM bakal dihangatkan dengan persembahan Datuk M Nasir, Aina Abdul, kumpulan penyanyi wanita Dolla, penyanyi dan juga atlet bola jaring kebangsaan, Fariha Razak; Hariz Fayahet, Bunga Isme serta barisan pelawak iaitu Ropie, Salman dan Atu Zero serta Noorkhiriah.

Pemenang bagi setiap lapan kategori AIS yang dipertandingkan akan menerima sebuah trofi, wang tunai RM5,000 dan langganan e-paper Harian Metro selama setahun.

Manakala pemenang Anugerah Ikon Sukan Terbaik akan membawa pulang sebuah trofi, langganan e-paper Harian Metro selama setahun dan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 (hatchback 5 pintu) bernilai RM136,000.

Harian Metro turut berbesar hati memberi hadiah lumayan kepada pengundi paling kreatif yang mengundi melalui akhbar Harian Metro.

Individu bertuah itu akan menerima langganan e-paper Harian Metro selama setahun dan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A2 (coupe 3 pintu) bernilai RM112,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 5:45 PM