FAHRIN dan  Sarimah bakal menceriakan lagi malam anugerah AIS pada 8 Januari.
FAHRIN dan Sarimah bakal menceriakan lagi malam anugerah AIS pada 8 Januari.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pengacara dan pelakon, Fahrin Ahmad menyambut baik penganjuran Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro (HM) dan mengakui anugerah berkenaan patut dijadikan sebagai acara tahunan.

Menurut Fahrin yang bakal menjadi hos utama AIS bersama Che Puan Sarimah Ibrahim, sebagai peminat sukan dia menyambut baik usaha dilakukan Harian Metro dalam memartabatkan industri sukan Malaysia.

"Sebagai peminat sukan saya menyambut baik penganjuran AIS kerana atlet juga boleh kita angkat sebagai personaliti dan ikon kerana sumbangan besar mereka kepada negara," katanya.

Ujar Fahrin, sebelum ini ramai memperkatakan anugerah lebih terkenal seperti dalam industri hiburan, sedangkan atlet juga harus diberikan penghargaan.

"Mereka dengan sumbangan diberikan sebelum ini perlu diberi penghargaan dan bagi saya sebagai seorang peminat sukan merasakan apa AIS bakal disambut baik oleh industri sukan.

"Ini platform untuk menghargai atlet negara yang mencatat prestasi terbaik dan juga merapatkan hubungan bersama peminat," kata Fahrin.

Dalam pada itu, dia juga mengakui penganjuran sulung AIS akan menjadi penanda aras untuk memberi penghargaan kepada atlet negara.

"Biar mereka rasa dihargai dan jika anugerah ini dianjurkan setiap tahun, sudah pasti akan dinanti-nanti semua pihak," katanya.

Pemenang bagi setiap lapan kategori AIS yang dipertandingkan akan menerima sebuah trofi, wang tunai RM5,000 dan langganan e-paper Harian Metro selama setahun.

Manakala pemenang Anugerah Ikon Sukan Terbaik akan membawa pulang sebuah trofi, langganan e-paper Harian Metro selama setahun dan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 (hatchback 5 pintu) bernilai RM136,000.

Harian Metro turut berbesar hati memberi hadiah lumayan kepada pengundi paling kreatif yang mengundi melalui akhbar Harian Metro.

Individu bertuah itu akan menerima langganan e-paper Harian Metro selama setahun dan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A2 (coupe 3 pintu) bernilai RM112,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 4:35 PM