Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Penganjuran Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro (HM) ternyata bukan 'biasa-biasa' apabila ia menjanjikan hadiah lumayan berupa dua buah kereta masing-masing untuk pemenang utama serta pengundi bertuah.

Bagi pemenang Anugerah Ikon Sukan Terbaik, mereka akan membawa pulang sebuah trofi, langganan e-paper Harian Metro selama setahun dan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 (hatchback 5 pintu) bernilai RM136,000.

Harian Metro turut berbesar hati memberikan hadiah lumayan kepada pengundi paling kreatif yang mengundi melalui akhbar Harian Metro di mana pemenang akan menerima langganan e-paper Harian Metro selama setahun dan sebuah kereta elektrik jenama Appollen A2 (coupe 3 pintu) bernilai RM112,000.

Husain dan Mohamad Norza bergambar bersama sebahagian atlit dan selebriti pada majlis pengumuman Pra-Kemuncak AIS HM. FOTO Aizuddin Saad
Husain dan Mohamad Norza bergambar bersama sebahagian atlit dan selebriti pada majlis pengumuman Pra-Kemuncak AIS HM. FOTO Aizuddin Saad

Pemenang bagi setiap kategori dan anugerah utama itu akan diumumkan pada malam kemuncak AIS yang akan bersiaran secara langsung di saluran televisyen, TV9, termasuk saluran YouTube TV9 dan Harian Metro serta laman web AIS di www.hmetro.com.my/ais, pada jam 8.30 malam, 8 Januari 2023.

Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi AIS HM, Husain Jahit berkata, AIS adalah acara anugerah yang julung kalinya dianjurkan oleh Harian Metro untuk memberi pengiktirafan kepada atlet normal dan para serta penggiat industri sukan termasuk kelab dan persatuan sukan atas kejayaan dan kecemerlangan mereka dalam kejohanan di dalam negara dan juga antarabangsa.

"Saya bersyukur kerana kami di Harian Metro dapat menganjurkan satu-satunya acara anugerah sukan yang memberi ruang dan pilihan kepada peminat dan pengikut sukan untuk memilih ikon sukan kegemaran mereka.

"Acara malam kemuncak AIS pada 8 Januari 2023 adalah unik kerana konsep yang akan diketengahkan adalah bersifat hiburan sukan. Kami akan selitkan elemen-elemen sukan dalam setiap persembahan. Manakala penyampai anugerah akan membabitkan gandingan atlet dan artis.

"Kami berharap penganjuran AIS ini meninggalkan impak dan memori manis pada semua atlet serta mereka yang terbabit. Semoga penganjuran AIS ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan lebih ramai lagi rakan-rakan korporat yang tampil untuk menaja acara berprestij ini," katanya pada majlis pengumuman pra-kemuncak AIS HM, hari ini bagi mengumumkan finalis lapan kategori utama yang akan bersaing untuk dinobatkan sebagai pemenang utama keseluruhan iaitu Anugerah Ikon Sukan Terbaik.

Majlis disempurnakan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria. Turut hadir Pengarang Berita Kanan (Sukan/Hiburan) Harian Metro merangkap Pengarah Projek AIS HM, Abdul Manan Samad; Ketua Pegawai Operasi TV9, Sherina Mohamed Nordin; Ketua Pegawai Operasi (Solusi Komersil) Media Prima Omnia, Zanny Liu; Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Ena Suhaila Abas dan Pengarah UKMShape, Prof Datuk Dr Muhammad Hussin.

Gardenia Breakthru adalah Penaja Utama AIS manakala UKMShape adalah Rakan Penaja AIS.

Lima atlet yang berada dalam senarai Top 5 turut hadir pada majlis hari ini iaitu Muhammad Hakim Danish Ramli (permotoran), Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid (duathlon), Muhammad Azeem Fahmi (olahraga), Hafizh Syahrin Abdullah (permotoran) dan Nur Jannaton Abdul Jalil (memanah para).

Malam kemuncak AIS HM bakal menobatkan Ikon Sukan Terbaik yang dipilih dalam kalangan calon Top 5 yang memperoleh undian tertinggi membabitkan lapan kategori iaitu Ikon Sukan Lelaki Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Wanita Gardenia Breakthru, Ikon Sukan Paralimpik, Ikon Sukan Jurulatih, Ikon Sukan Persatuan/Kelab, Ikon Sukan Kepimpinan, Ikon Sukan Harapan dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Proses undian peringkat kedua bagi finalis setiap kategori sudah bermula pada 1 Disember lalu dan akan berakhir pada 25 Disember ini. Undian boleh dibuat menerusi pembelian akhbar Harian Metro dan di laman web AIS HM www.hmetro.com.my/ais.

Penilaian untuk pemenang akan berdasarkan 50 peratus undian melalui akhbar Harian Metro dan atas talian manakala 50 peratus lagi penilaian daripada juri profesional. Proses undian peringkat pertama sudah berlangsung pada 30 Oktober sehingga 20 November lalu, yang mana penilaian adalah berdasarkan 100 peratus undian peminat dan pembaca.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 4:56 PM
Husain dan Mohamad Norza bersama sebahagian atlit, selebriti dan penaja dengan kereta elektrik Appollen A1 selepas Majlis pengumuman Pra-Kemuncak AIS HM.
Husain dan Mohamad Norza bersama sebahagian atlit, selebriti dan penaja dengan kereta elektrik Appollen A1 selepas Majlis pengumuman Pra-Kemuncak AIS HM.