MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Faizal Azumu.
MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Faizal Azumu.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan hari ini memaklumkan jawatankuasa tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) bersetuju agar penganjuran Sukma 2022 oleh negeri Johor ditangguhkan kepada 2024.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Faizal Azumu selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tertinggi Sukma bagi mendapatkan laporan status terkini temasya berkenaan dari sekretariat Sukma Johor 2020.

Bagaimanapun Sukma 2022 dan Sukan Para Sukma 2022 akan tetap dilangsungkan di bawah pengelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur.

"Mesyuarat hari ini dihadiri semua wakil negeri yang terbabit termasuk kerajaan negeri Johor. Ia turut dihadiri Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

"Satu ketetapan sudah dicapai dengan penganjuran Sukma 2022 oleh Johor ditangguhkan kepada 2024. Jawatankuasa tertinggi bersetuju agar MSN menganjurkan Sukma 2022 dan Sukan Para Sukma 2022 di Kuala Lumpur.

"Tarikh penganjuran kedua-dua temasya berkenaan akan dicadangkan oleh MSN untuk kelulusan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia dan Para SUKMA akan datang," katanya.

Jelas Faizal lagi, pihak KBS akan mengemukakan cadangan ini kepada Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tujuan kelulusan pelaksanaan temasya.

Untuk rekod penganjuran temasya Sukma dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 10 April 2021 manakala Para Sukma bermula 8 hingga 13 Mac 2021 namun terpaksa dibatalkan disebabkan penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 9:14 PM