SHANMUGAM (tengah) menyampaikan sijil kepada peserta Program Kem Bakat Badminton Kementerian Belia Sukan (KBS) Zon Selatan 2022 di Kompleks Sukan Komuniti Paya Rumput, semalam. FOTO Nazri Abu Bakar
SHANMUGAM (tengah) menyampaikan sijil kepada peserta Program Kem Bakat Badminton Kementerian Belia Sukan (KBS) Zon Selatan 2022 di Kompleks Sukan Komuniti Paya Rumput, semalam. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kerajaan Negeri akan melakukan 'post mortem' bagi mengenal pasti kegagalan kontinjen Melaka memenuhi sasaran meraih 20 pingat emas berbanding hanya 17 emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma XX) yang berakhir kelmarin.

Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Melaka, VP Shanmugam berkata, pihaknya akan mengadakan post mortem dalam tempoh dua minggu lagi bersama pengurus dan pegawai yang bertanggunjawab menggalas cabaran dalam 31 acara yang disertai untuk mengenal pasti punca dan faktor kegagalan berkenaan.

Menurutnya, apapun kegagalan memenuhi sasaran terbabit tidak meletakkan kontinjen Melaka berputus asa terutama dalam aspek pembangunan sukan bagi memastikan barisan pelapis berkualiti untuk mengharungi Sukma selepas ini.

Katanya, situasi sukar yang dilalui susulan pandemik Covid-19 menjadi antara penyumbang berlaku kekangan masa dan peluang berlatih menyebabkan beberapa acara sukan tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Dalam acara akuatik, kita sepatutnya bakal meraih tiga lagi emas kerana kita yakin atlet yang dihantar itu sebelum ini pernah menempa nama namun akibat kekangan yang berlaku terdapat atlet terpaksa menarik diri pada saat akhir.

"Terdapat kekangan selepas hampir empat tahun negara tidak menganjurkan Sukma, kerana ada atlet yang menamatkan alam persekolahan sedang melanjutkan pelajaran selain ada yang sedang bekerja dan masalah untuk berlatih," katanya.

Shanmugam berkata demikian selepas merasmikan Program Kem Bakat Badminton Kementerian Belia Sukan (KBS) Zon Selatan 2022 di Kompleks Sukan Komuniti Paya Rumput, semalam.

Malah, ada juga atlet yang menyertai pasukan keselamatan dan gagal mendapat pelepasan, namun dia tetap berpuas hati dengan pencapaian 17 pingat emas terbabit.

Justeru, Melaka akan bangkit dua kali lebih kuat pada edisi akan datang dengan melakukan perancangan terperinci antaranya membentuk kolaborasi bersama agensi berkaitan untuk mencari formula.

Shanmugan berkata, Melaka tidak mempunyai bajet besar seperti Johor yang memperuntukkan lebih kurang RM20 juta untuk Sukma kali ini dengan Melaka hanya memperuntukkan RM2.4 juta untuk atlet negeri terbabit.

Jelasnya, bidang sukan memerlukan bajet yang besar untuk dibangunkan sehubungan itu pihaknya akan mencari formula terbaik termasuk mengesyorkan syarikat yang ada di Melaka menyumbang kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Dalam masa sama dengan sumbangan penajaan terbabit mampu menambah imbuhan untuk diberikan kepada jurulatih dan atlet-atlet di Melaka sekali gus membakar semangat mereka untuk lebih cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 1:57 PM