ATLET dan jurulatih Melaka ceria selepas majlis penyampaian insentif. FOTO NAZRI ABU BAKAR
ATLET dan jurulatih Melaka ceria selepas majlis penyampaian insentif. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kerajaan Negeri Melaka menerusi Majlis Sukan Negeri Melaka (MSN) mengagihkan RM334,100 sebagai insentif kepada atlet dan jurulatih yang melonjak nama negeri Melaka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Majlis Penyampaian Insentif berkenaan di atas kemenangan pada Sukan Sea ke-32 Kemboja 2023, Insentif Jurulatih Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 Majlis Sukan Negeri (MSN) 2022, Insentif Atlet Para Sukma ke-20 MSN 2022 dan Insentif Atlet Deaflympics 2022, Brazil diadakan di Ayer Keroh sebentar tadi.

Ia disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO, VP Shanmugam; Pengarah Majlis Sukan Negeri Mohd Asri Ninggal dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Khairul Adri Datuk Rosli.

Rauf dalam ucapannya berkata, 25 orang atlet Melaka mewakili negara ke Sukan Sea di Phnom Penh, Kemboja pada Mei yang lalu dengan menyumbang empat emas, lima perak dan empat gangsa.

Katanya, dia juga berbangga kesungguhan dan komitmen oleh Kontinjen Para Sukma Negeri Melaka yang berada di kedudukan ke-10 selepas merangkul sembilan sembilan emas, 19 perak dan 12 gangsa.

"Lebih membanggakan, atlet para wanita, Boon Wei Ying yang bertanding di temasya Deaflympics tahun 2022, Brazil dalam sukan badminton membawa pulang masing-masing satu emas, perak dan gangsa dalam acara beregu wanita, beregu campuran dan perseorangan wanita.

"Wei Ying anak watan kelahiran Klebang, Melaka yang juga atlet OKU pekak badminton Melaka itu amat membanggakan menerusi pencapaiannya dalam kejohanan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 7:17 PM