AB Rauf bersama Sabri ketika upacara penyampaian hadiah di Banda Hilir. FOTO Ab Rauf
AB Rauf bersama Sabri ketika upacara penyampaian hadiah di Banda Hilir. FOTO Ab Rauf
Nazri Abu Bakar


Melaka: Wan Mohammad Sabri Wan Mohd Zaki dari Persatuan Muaythai Melaka merangkul anugerah Tali Pinggang Ketua Menteri Melaka pada Kejohanan Muay Thai Amatur dan Pro Melaka, di Banda Hilir kelmarin.

Atlet muay thai Melaka yang dikenali sebagai Sabri Thai V6 itu meraih kemenangan selepas menewaskan peserta Indonesia, Fabian Farhan dalam kategori Pro Bawah 60 kilogram (kg).

Kejohanan berlangsung di pekarangan Menara Taming Sari turut disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu membabitkan penyertaan 130 atlet termasuk dari Yaman, Thailand, Indonesia dan Arab Saudi.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam.

Sabri berkata, kejayaan terbabit melengkapkan koleksi kelimanya memiliki tali pinggang muay thai menerusi pelbagai kejohanan yang disertai mewakili negeri berkenaan.

Menurutnya, selepas meraih pingat perak di pentas Sukan Malaysia (Sukma) sebelum ini, dia jelas bertekad untuk meraih kejayaan lebih besar di pentas saingan sama di Sarawak 2024 kelak.

"Saya mewakili Melaka dalam Sukma sejak berusia 17 tahun dan Insyallah kali ini saya menyasarkan pingat emas di Sarawak.

"Apa yang penting saya perlu fokus dalam sesi latihan dan setiap kejohanan yang bakal disertai untuk memantapkan persembahan.

"Alhamdulillah saya dapat menghabiskan perlawanan pada malam ini dengan baik dan kejayaan ini membakar semangat saya untuk lebih bersedia bagi menyertai Kejohanan T- Fight pada peringkat antarabangsa, yang dijadualkan pada 30 September depan," katanya.

Justeru, dia akan terus mempersiapkan diri menghadapi kejohanan berkenaan dengan lebih serius kerana difahamkan bakal berdepan jaguh negara, Ali Yaakub yang dikenali sebagai 'Kapten Malaysia'.

Dalam pada itu atlet dari Yaman, dikenali Zahran mengungguli Tali Pinggang Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya selepas menewaskan atlet Melaka, Adam Haikal (Ciko).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 6:18 PM