AHMAD Shapawi (kiri) hadir di Mesyuarat Chef De Mission Para Sukma MSN 2022, hari ini. FOTO Majlis Sukan Negara
AHMAD Shapawi (kiri) hadir di Mesyuarat Chef De Mission Para Sukma MSN 2022, hari ini. FOTO Majlis Sukan Negara
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan pengguguran atlet yang tidak melepasi ujian klasifikasi bagi menyertai temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022, bertepatan dengan peraturan sedia ada.

Beliau berkata, proses itu adalah perkara biasa yang sering dijalankan dalam mana-mana kejohanan para selain menegaskan pengguguran atlet akibat tidak menepati syarat kelayakan bukanlah perkara yang perlu diperbesarkan.

"Kami sudah menjalankan beberapa siri ujian sebelum berlangsungnya Para Sukma 2022 ini dan melalui ujian itu kita akan dapat mengesan tahap ketidakupayaan mereka bersesuaian dengan peraturan pertandingan.

"Jadi, untuk tiga atlet terbabit ini adalah perkara biasa dalam kejohanan bertemasya dan ia bukanlah suatu perkara yang perlu diperbesarkan.

"Ini kerana, atlet negara juga pernah melalui proses itu di temasya peringkat antarabangsa di mana ada diantara mereka tidak dapat bertanding. Ia adalah situasi normal dan sebab itu kita awalkan ujian klasifikasi atlet," katanya ketika ditemui selepas Majlis Selamat Datang dan Menaikkan Bendera Kontinjen di MSN, Bukit Jalil, hari ini.

Malah, beliau memaklumkan terdapat pelbagai usaha yang sudah digerakkan oleh pihaknya dalam memberi penerangan berkenaan syarat klasifikasi kejohanan bagi setiap kategori.

"Kami juga sudah menjalankan beberapa siri pembentangan dan taklimat mengenai klasifikasi dan mempunyai pihak bertanggungjawab di peringkat negeri bagi membantu menjalankan ujian dari semasa ke semasa," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan terdapat tiga altet para Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) terpaksa digugurkan daripada menyertai Para Sukma 2022 gara-gara memiliki tahap kecerdasan (IQ) yang tinggi.

Selain itu, Ketua Penyelaras Kontinjen WPKL, Mohd Faidurrida Yusoff mengakui ia akan memberi kesan kepada kontinjen dari segi kutipan pingat emas disebabkan persiapan sudah lama dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 2:09 PM