KONTINJEN Sarawak sasar pertahan kejuaraan Para Sukma. FOTO Majlis Sukan Negara
KONTINJEN Sarawak sasar pertahan kejuaraan Para Sukma. FOTO Majlis Sukan Negara
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kontinjen Sarawak melaungkan keyakinan bahawa mereka akan mengungguli Sukan Para Malaysia (Para Sukma) kali ke-20 yang membuka tirai secara rasmi esok dengan meletakkan sasaran untuk mempertahankan kejuaraan.

Menurut Timbalan Ketua Kontinjen, Lamat Nyalau walaupun berdepan kesukaran beberapa tahun sebelum ini akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun ia tidak akan melemahkan semangat atlet Sarawak.

"Kita juga sama seperti negeri lain sejak beberapa tahun lalu berdepan kesukaran untuk mempersiapkan diri akibat PKP. Bagaimanapun, kita percaya dengan latihan yang dijalankan dan semangat Sarawak mampu meraih kejuaraan kali ke-14," katanya selepas Majlis Selamat Datang dan Menaikkan Bendera Kontinjen Sukan Para Sukma 2022 sebentar tadi.

Ujar Lamat, bagi mencapai sasaran juara keseluruhan mereka meletakkan sasaran untuk meraih 64 emas selepas mengambil bahagian dalam 10 acara.

"Kita percaya setiap acara akan membuahkan hasil berdasarkan dari segi persediaan dan pencapaian sebelum ini.

"Antara acara menjadi tumpuan ialah powerlifting bersandarkan semangat daripada idola atlet paralimpik, Bonnie Bunyau Gustin. Akan ada pelapis lain yang mampu membutirkan tiga emas dalam acara ini," katanya.

Ditanya mengenai kontinjen lain yang boleh mencabar sasaran Sarawak untuk muncul juara keseluruhan, beliau berkata, perkara berkenaan tidak dapat dipastikan secara khusus kerana sudah empat tahun temasya ini tidak diadakan.

Bagaimanapun, Lamat yakin atlet negeri lain terutama dari Johor dan Selangor tidak boleh dipandang sebelah mata.

"Johor mempamerkan prestasi luar pada Sukan Malaysia (Sukma) baru-baru ini dengan ramai tidak menyangka mereka mampu muncul juara keseluruhan. Kita nampak persediaan Johor kali ini sedikit berbeza," katanya.

Para Sukma 2022 membabitkan penyertaan 15 kontinjen yang terdiri daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka, Perak, Pahang, Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Antara sukan yang akan dipertandingkan adalah boccia, akuatik renang, badminton, catur, boling padang memanah, olahraga, ping pong, powerlifting dan tenpin boling.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 1:54 PM