ATLET Selangor, Muizzuddin Syahmi Ahmad Bahar menang perak acara 55kg lelaki, hari ini. FOTO FB MAJLIS SUKAN NEGERI SELANGOR
ATLET Selangor, Muizzuddin Syahmi Ahmad Bahar menang perak acara 55kg lelaki, hari ini. FOTO FB MAJLIS SUKAN NEGERI SELANGOR
Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: Jawatankuasa Pengelola Sukan Malaysia (Sukma) XX MSN 2022 tidak pernah berkompromi dengan mana-mana atlet didapati gagal dalam ujian doping yang secara automatik tidak dibenarkan bertanding pada edisi temasya kali ini.

Bagi sukan angkat berat di Sukma kali ini, semua atlet diwajibkan menjalani ujian doping 30 hari sebelum kejohanan sebagai langkah pencegahan demi memastikan hanya atlet yang bebas daripada pengambilan bahan terlarang dibenarkan bersaing.

Inisiatif ini diperkenalkan secara bersama di antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) sejak Sukma Perak 2018 serta diteruskan untuk penganjuran temasya kali ini.

Jawatankuasa temasya menerusi satu kenyataan media berkata, ketika ujian 30 hari sebelum pertandingan bermula itu diadakan, tiada peraturan ditetapkan PABM untuk membatalkan penyertaan seluruh pasukan jika ada mana-mana atlet pasukan gagal ujian berkenaan.

"Jawatankuasa Khas Teknikal Sukan Malaysia XX MSN 2022 hanya dimaklumkan pada 13 September 2022 mengenai ketetapan PABM membatalkan penyertaan keseluruhan pasukan jika ada mana-mana atlet gagal ujian doping.

"Makluman itu diterima enam hari sebelum acara angkat berat dijadualkan berlangsung pada Sukma kali ini.

"Ketetapan pembatalan seluruh pasukan oleh PABM itu adalah yang pertama seumpamanya di dunia, berbeza dengan peraturan saingan di peringkat antarabangsa yang hanya membatalkan penyertaan atlet yang terbukti gagal ujian doping.

"Mesyuarat Ketua-ketua Kontinjen pada 15 September 2022 membincangkan peraturan terbaru PABM itu dan sebulat suara bersetuju membenarkan penyertaan semua pasukan dengan atlet yang lulus ujian doping.

"Pihak penganjur turut berbincang dengan Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, sebelum taklimat sukan angkat berat pada 18 September 2022 selain menjelaskan peraturan terbaru itu tidak terkandung dalam Peraturan Tetap Sukma, Peraturan Am Sukma dan Peraturan Pertandingan Acara Angkat Berat Sukma 2022 yang dimuktamadkan bersama PABM sebelumnya.

"Bagaimanapun, PABM bertegas dan satu mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma dipanggil pada hari sama untuk membincangkan arahan pembatalan penyertaan dua pasukan, selain pendirian PABM tidak membenarkan semua pegawai teknikal bertugas sekiranya dua pasukan itu dibenarkan bertanding," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, mesyuarat itu turut dihadiri semua Pengarah Majlis Sukan Negeri yang sebulat suara bersetuju meneruskan acara angkat berat Sukma disertai semua pasukan dan memberi mandat pengurusan acara kepada Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma.

Menurutnya, ia atas dasar mengutamakan kepentingan atlet yang sudah terbukti bersih dan berhak menyertai Sukma kali ini.

"Jawatankuasa Pengelola berdukacita dengan keputusan PABM melarang pembabitan pegawai teknikal daripada mengendalikan acara sukan angkat berat.

"Namun penganjuran tetap diteruskan demi memberi peluang kepada atlet yang bersih bersaing di temasya Sukma kali ini," kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 7:09 PM