MOHAMAD Norza Zakaria. FOTO Aizuddin Saad
MOHAMAD Norza Zakaria. FOTO Aizuddin Saad
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dilantik mengetuai Jawatankuasa Pemantauan Program Gold Paris 2024 yang ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan dan keberkesanan program.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara (MSN) yang diadakan di Bukit Jalil hari ini.

Turut berada dalam jawatankuasa berkenaan ialah lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bersama lapan anggota yang lain.

"Mereka bertanggungjawab memberi pandangan untuk penambaikan kepada pelaksanaan program selain mengenalpasti isu atau masalah untuk dibentangkan kepada Lembaga Pengurus MSN," kata Ahmad Faizal dalam kenyataan sebentar tadi.

Selain Chong Wei, seorang lagi ikon sukan negara ialah Nurul Huda Abdullah yang turut dilantik sebagai ahli untuk penggal ini.

Dalam pada itu, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal Sukan Malaysia (Sukma) XX MSN 2022 memutuskan 12 acara sukan digugurkan berikutan kurang penyertaan dari kontinjen negeri.

Pengguguran acara-acara ini merujuk kepada syarat penganjuran dimana jumlah penyertaan kurang daripada enam kontinjen.

Acara yang digugurkan ialah lima acara dari sukan terjun, dua

dari kanu dan masing-masing satu dari sukan karate, olahraga, tinju, angkat berat dan judo.

Acara yang digugurkan dari sukan terjun adalah kategori wanita iaitu 1 meter (m) papan anjal, 3m papan anjal, 10m platform, 3m papan anjal seirama, 10m platform seirama.

Bagaimanapun, bagi atlet-atlet negeri yang terlepas peluang bertanding di Sukma XX 2022, MSN dan persatuan sukan berkenaan akan memastikan mereka dapat menyertai kejohanan remaja masing-masing bagi memberi ruang dan peluang pendedahan pertandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 11:38 AM